Liwat II: Mahkamah tinggi tolak permohonan Anwar
KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan anggota keluarganya bagi kebenaran semakan kehakiman
untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyennya bagi
pengampunan diraja atas sabitan meliwat.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin yang membuat keputusan itu di dalam kamar,
juga menolak permohonan Anwar untuk merujuk persoalan undang-undang ke
Mahkamah Persekutuan berhubung proses yang diambil dalam keputusan
Lembaga Pengampunan.
Peguam Anwar, N Surendran memberitahu pemberita hakim membuat keputusan
itu selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh ketiga-tiga
responden, iaitu Lembaga Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan
Malaysia terhadap permohonan bagi kebenaran semakan kehakiman itu.
Pada 24 Jun tahun lalu, bekas ketua pembangkang itu, isterinya, Datin
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah
serta Nurul Nuha memfailkan permohonan dengan menamakan Lembaga
Pengampunan, Peguam Negara dan kerajaan Malaysia sebagai responden.
Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah untuk membatalkan
keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac 2015, dan mendesaknya
menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya memberi pengampunan dan
membebaskan Anwar, 69.
Mereka juga memohon perintah mandamus bagi mendesak Lembaga Pengampunan
mengadakan semula mesyuarat dan menimbangkan semua perkara berkaitan
petisyen bagi pengampunan diraja yang dikemukakan oleh anggota keluarga
Anwar dan memberi nasihat yang bersesuaian kepada Yang di-Pertuan Agong.
Anwar, dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, mendakwa bahawa
keputusan oleh Lembaga Pengampunan dicapai secara melanggar peraturan
keadilan asasi dan oleh itu tidak sah.
Anwar mendakwa bahawa keputusan Lembaga itu tidak pernah disampaikan
secara bertulis kepadanya atau anggota keluarganya yang mengemukakan
petisyen tersebut.
Beliau mendakwa bahawa keputusan itu juga tercemar dan mempunyai
kecacatan kerana Peguam Negara ketika itu adalah pihak yang
berkepentingan yang menaruh perasaan kebencian yang berlarutan
terhadapnya.
Anwar berkata, Peguam Negara berbincang pada mesyuarat dengan lembaga
pada 16 Mac tahun lalu dan ini disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana
Menteri Nancy Shukri dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan
Rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai
Buloh selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015, mengekalkan sabitan
dan hukuman kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari
Azlan, pada 2008. - Bernama
4 orang berkata:
kasihan di tolak
naik banding lagi
cari cara selamat
Apa kah istimewanya banduan yang bernama anwar ni?
Mintak nak keluar buang undi..
mintak dibenarkan ada fisikal konyak dengan pelawatnya..
dan macam yang diminta..
Bukankah keadilan berjuang hak samarata rakyat malaysia?
Napa hak banduan tidak dipeejuangkan? Napa hak anwar sahaj di pwejuangkan?
Dah jadi banduan dudok lah sana diam2. Mana tau dapat keluar awal atas berkelakuan baik..
Post a Comment