Isu RM90 juta mungkin agenda lemahkan Pas
SHAH ALAM – Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan laporan
Sarawak Report yang mengaitkan Pas dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Razak dengan RM90 juta mempunyai agenda untuk melemahkan parti Islam
itu gara-gara dilihat mesra dengan Umno.
Pensyarah dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr
Sivamurugan Pandian berpendapat, ada kemungkinan dakwaan itu sebagai
strategi terbaharu yang diguna pakai dalam usaha menjatuhkan Pas.
“Saya percaya Pas akan mengambil pendekatan untuk menghentikan laporan
itu jika ia bersifat tohmahan. Mungkin juga ia agenda untuk melemahkan
Pas memandangkan Pas tidak berada dalam Pakatan Harapan yang juga
dilihat mesra kepada Umno.
“Tapi secara umumnya, baik ahli Pas ataupun bukan, harus melihat dengan
lebih menyeluruh dan memastikan mendapat butiran yang benar supaya ia
tidak hanya bersifat sensasi,” katanya kepada Sinar Online.
Sebelum ini, Pas dikaitkan dengan RM90 juta dalam usaha merayu agar Pas
menjauhi gabungan pembangkang yang sedang dalam perancangan.
Namun Pas tidak berdiam diri sebaliknya terus menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas portal berita tersebut.
Pensyarah Fakulti Sains Sosial dari Universiti Malaysia Sarawak
(Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, dakwaan yang dibuat Sarawak
Report itu tidak boleh hanya bersandarkan cakap-cakap sebaliknya ia
perlu mengemukakan bukti yang kukuh jika tidak mahu integriti
kewartawanannya terjejas.
“Kalau tidak, dakwaan itu hanya dianggap sebagai satu tuduhan untuk mencalarkan imej dan reputasi Najib, Umno dan Pas.
“Lebih-lebih lagi dalam konteks orang melihat sudah wujud semacam
kemesraan antara kedua-dua parti ini. Jadi, ini dapat dilihat sebagai
satu percubaan untuk menjejaskan integriti dan kepimpinan Umno dan Pas,”
katanya.
Dalam pada itu, menurut Jeniri, tanpa berlandaskan bukti kukuh, Sarawak
Report hanya akan membuatkan orang ramai tidak mempercayai portal itu
lagi.
“Sarawak Report tentu punya justifikasinya sendiri berlandaskan ilmu kewartawanan yang ada padanya untuk keluarkan laporan itu.
“Jika tidak, integriti Sarawak Report akan terjejas dan orang tak akan
percaya sekiranya mereka asyik menyiarkan berita yang tidak beretika dan
tidak bertanggungjawab kerana kewartawanan yang baik dan profesional
adalah kewartawanan yang bersandarkan sumber sahih dan fakta tidak
diragui,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment