Pulau Pinang mahu SPR temu negeri, pusat tetapkan tarikh PRU
November 23, 2011
KUALA LUMPUR, 23 Nov —
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar mengadakan satu pertemuan dengan kerajaan persekutuan dan kesemua kerajaan negeri untuk membincangkan tarikh dipersetujui bersama bagi mengadakan pilihan raya umum, kata kerajaan negeri Pulau Pinang.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata adalah tidak adil jika SPR hanya menyasar dan mengenakan tekanan ke atas negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat agar menerima tarikh yang sama dengan pembubaran Parlimen oleh kerajaan pusat.
“Mengapa hanya negeri-negeri dan bukannya BN? Jika SPR benar-benar jujur, ia harus dibincangkan dengan semua kerajaan negeri dan persekutuan,” kata beliau kepada pemberita di sini.
“Saya tiada masalah dengan pilihan raya yang berlainan (tarikh) . . . ia tidak pernah menjadi isu pada masa-masa lalu. Jika Sarawak boleh adakan pilihan raya yang berasingan, mengapa tidak di negeri lain?” kata Lim.Sebelum ini Pulau Pinang dan Selangor pernah berkata pihaknya tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri awal.
“Tetapi kami bersedia untuk berbincang. Pulau Pinang bersedia untuk mengadakan perbincang bernas jika SPR bersedia,” katanya.
Terdahulu, Dewan Pemuda PAS membidas tindakan SPR yang “menyibuk” terhadap urusan parti politik lain dengan mahu memujuk negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat agar mengadakan pilihan raya umum secara serentak.
Sebaliknya, sayap pemuda PAS itu mahu SPR memujuk agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengummkan tarikh pilihan raya umum lebih awal.
Laporan media semalam menyebut, SPR masih meletakkan harapan agar pilihan raya umum ke-13 Parlimen dan Dewan Undangan Negeri membabitkan semua negeri kecuali Sarawak dapat diadakan serentak.
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof berkata beliau akan menemui para pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan berhubung pilihan raya umum ke-13.
Beliau berkata pertemuan itu bertujuan menerangkan kebaikan pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri dan Parlimen diadakan serentak antaranya bagi menjimatkan perbelanjaan, masa dan tenaga kerana prosesnya sama.
0 orang berkata:
Post a Comment