Pemimpin pusat Pakatan cari formula selesai isu kerusi petang ini
November 23, 2011
KUALA LUMPUR, 23 Nov — Majlis kepimpinan Pakatan Rakyat petang ini dijangka menyentuh soal pembahagian kerusi khususnya bagi menyelesaikan pertikaian membabitkan tiga hingga empat negeri ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum ke-13 akan diadakan awal tahun depan.
The Malaysian Insider difahamkan bahawa antara negeri yang menjadi tumpuan khusus dalam perbincangan hari ini Johor, Sarawak dan Sabah.
“Ada beberapa negeri, antara tiga hingga empat negeri yang pembahagian kerusi masih belum menemui penyelesaian . . . khususnya membabitkan DAP dan PKR,” kata seorang pemimpin yang akan menghadiri mesyuarat petang ini.
“Ya, ini kali pertama pemimpin peringkat pusat Pakatan Rakyat akan membincangkan secara formal, sebelum ini kami menyerahkan kepada kepimpinan negeri untuk menyelesaikan perkara tersebut. Kebanyakan negeri tiada masalah.
“Yang menarik, kebanyakan negeri sudah menyelesaikan, tetapi ada beberapa negeri masih berhadapan dengan isu, jadi ia akan dibawa ke peringkat pusat hari ini untuk mencari penyelesaian... hari ini kali pertama kami membincangkan secara khusus. Itu pasti,” kata sumber itu sambil menekankan, “sudah pasti kita kemungkinan tidak akan menemui penyelesaian hari ini, tetapi mesyuarat hari ini adalah penting sebelum pilihan raya.” “Kita mungkin memerlukan beberapa pertemuan selepas hari ini,” katanya lagi.
Kata pemimpin itu lagi, penyelesaian ini akan membawa kepada perbincangan mengenai soal calon kemudian, tetapi ia lebih bersifat perbincangan parti anggota Pakatan Rakyat.
Dengan merujuk kepada situasi pilihan raya negeri Sarawak April lalu, kata pemimpin itu, pembahagian kerusi adalah isu penting khususnya membabitkan kedua-dua negeri Malaysia Timur.
Pilihan raya umum ke-13 akan membabitkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak yang sudah pun mengadakan pilihan raya negeri enam bulan yang lalu.
Pada pilihan raya umum 2008, PAS bertanding di 66 kerusi Parlimen, DAP (47) dan PKR (97) dan masing-masing memenangi 23, 28 dan 31 kawasan.
Ia termasuklah kerusi yang dimenangi wakil dari Parti Sosialis Malaysia (PSM), yang hanya didaftarkan selepas pilihan raya umum 2008.
Di peringkat Dewan Undangan Negeri pula PAS meletakkan calon di 232 kerusi, DAP (102) dan PKR (176). Daripada jumlah kerusi itu, PAS menang di 83 kawasan, DAP (73) dan PKR (40).
Pemimpin Pakatan Rakyat ini juga berkata, pada dasarnya mereka telah memutuskan bahawa akan kekal bertanding di kerusi-kerusi yang telah dimenangi tiga tahun lalu.
“Bagi kawasan-kawasan yang kami tewas, kemungkinan ada pertukaran kerusi tetapi jumlah itu tidak banyak,” katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment