Nama Siew Keong tiada dalam senarai Senator
TELUK INTAN - Dakwaan bahawa Datuk Mah Siew Keong akan dilantik sebagai
Senator jika kalah pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan
adalah tidak benar kerana nama calon Barisan Nasional (BN) itu tidak
disenaraikan untuk mengisi jawatan itu.
Timbalan Presiden Gerakan Dr Cheah Soon Hai hari ini menjelaskan
mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu beberapa bulan lepas mencadang
nama calon lain bagi mengisi jawatan itu.
"Mah menolak untuk dicalonkan (sebagai Senator), jadi persoalan bahawa
Siew Keong akan dilantik sebagai Senator tidak pernah timbul," katanya
kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kempen DAP yang mendakwa jika
calon DAP menang, penduduk di kawasan Parlimen Teluk Intan tidak akan
rugi kerana calon BN boleh dilantik menjadi Senator dan mempunyai suara
di Parlimen.
Sementara itu, Siew Keong dengan tegas mengulangi kenyataannya bahawa
beliau tidak akan menjadi Senator dan dua nama calon lain yang telah
dicadangkan bagi mengisi jawatan itu.
"Sebagai presiden (Gerakan), sekali lagi, saya mahu katakan jika saya
kalah, saya tidak akan jadi Senator. Tidak kemasukan ikut jalan belakang
bagi saya.
"Saya tidak mahu, saya sudah katakan, saya tidak mahu," tegasnya.
Siew Keong berkata beliau mahu menjadi anggota Parlimen Teluk Intan bagi memudahkannya membantu penduduk kawasan itu.
"Saya mahu menjadi ahli Parlimen kerana saya rasa banyak yang saya
boleh lakukan bagi membantu penduduk Teluk Intan. Saya mahu mewujudkan
tabung bagi membantu golongan miskin, ibu tunggal serta golongan kurang
upaya. Itulah harapan saya untuk penduduk Teluk Intan," katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini menyaksikan
pertembungan satu lawan satu antara Mah dan calon DAP Dyana Sofya Mohd
Daud. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment