Cadbury: Imam Besar Masjid Negara saran bertegas
KUALA TERENGGANU - Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail
Muhammad menyarankan agar tindakan tegas diambil terhadap Cadbury
Confectionery (M) Sdn Bhd susulan penemuan DNA babi di dalam dua
produknya.
Beliau berkata, tindakan seperti denda yang berat atau penutupan kilang
adalah wajar sebagai pengajaran kepada syarikat lain agar lebih
berhati-hati dalam pematuhan piawaian halal.
"Apa sahaja keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap
syarikat itu akan kita sokong, asalkan ia tidak berulang pada masa
depan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan mahabbah dan
menyampaikan sumbangan kepada pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah,
di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Kementerian Kesihatan pada Sabtu lalu yang
mengesahkan dua sampel coklat keluaran Cadbury mempunyai DNA babi.
Mengulas lanjut, Syaikh Ismail juga tidak menolak kemungkinan ada pihak
tertentu yang berniat jahat dengan menjadikan makanan sebagai alat
untuk menggugat akidah umat Islam.
Justeru, beliau menyeru umat Islam agar lebih berhati-hati dengan
status makanan yang diambil kerana sikap sambil lewa terhadap perkara
itu hanya memudaratkan umat Islam sendiri.
"Jika umat Islam memandang remeh perkara ini, ia sama sahaja seperti
orang yang tidak beriman yang makan apa sahaja tanpa mengira halal
haramnya sesuatu produk itu.
"Pada masa sama, kita mengharapkan pihak berkuasa terus memantau
syarikat pengeluar makanan yang lain bagi mengelak perkara ini terjadi,"
katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment