• Khalid Abu Bakar
1 / 1
KUALA LUMPUR - Seorang anggota polis berpangkat koperal antara enam yang ditahan kerana disyaki menganggotai kumpulan pengganas Sulu dalam satu operasi khas sekitar daerah Kunak di Sabah hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menamakan anggota polis sebagai Koperal Zainuddin Mislani.

Turut ditahan Abu Bakar Jayari@Alex, 60; anak Abu Bakar, Ilyasa Abu Bakar@Maharaja Omar; Kassim Ibrahim (disyaki pendatang tanpa izin; dan Industan@Md Bustan Lumatang@Hindustan, 55.

Dalam kenyataan hari ini, Khalid berkata operasi itu turut menyaksikan penahanan Sitti Nukah Abdul Lama, 56, yang juga isteri Kassim.

"Tangkapan terbaru oleh Cawangan Khas Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) ini adalah susulan daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada Februari tahun lepas," katanya.

Khalid berkata polis turut merampas kad keanggotaan dan sijil pelantikan 'panglima' kesultanan Sulu, beberapa dokumen berkaitan kesultanan Sulu serta beberapa bilah senjata tajam.

"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 124(C) Kanun Keseksaan dan akan disiasat di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pada Februari tahun lepas, sekumpulan pengganas bersenjata menceroboh Lahad Datu dan berlaku pertempuran yang mengorbankan nyawa 10 anggota pasukan keselamatan Malaysia, iaitu lapan polis serta dua tentera. - Bernama