Published: 18 June 2014 | Updated: 18 June 2014 3:32 PM
Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata Malaysia
tidak boleh dianggap sekular totok tetapi sekular ringkas, kerana jika
Perlembagaan sekular, maka ia tidak langsung menyentuh kedudukan agama. –
Gambar fail The Malaysian Insider, 18 Jun, 2014.
Ahli
Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata Perkara 3 dalam Perlembagaan
Persekutuan jelas menerangkan perkara itu, selain kuasa agama di
peringkat negeri turut disebut dalam Jadual ke-9.
“Malaysia tidak
boleh dianggap sekular totok tetapi sekular ringkas, kerana jika
Perlembagaan sekular, maka ia tidak langsung menyentuh kedudukan agama.
“Sedangkan
Perkara 3 menyebut dengan jelas: Islam agama rasmi Persekutuan. Kuasa
agama di negeri juga dijamin dalam Jadual ke-9,” katanya kepada The
Malaysian Insider.
Semalam, semasa
sidang Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dari DAP mahu
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dirujuk
ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana menolak Malaysia sebagai
negara sekular.
“Kenyataan ini
salah dan mengelirukan Dewan. Semasa pembentukan Malaysia, difahamkan
Singapura, Sarawak dan Sabah tidak datang daripada latar belakang sultan
Melayu beragama Islam.
“Saya mahu
Jamil Khir menarik semula kenyatannya dan membuat pembetulan, Malaysia
adalah negara sekular berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963,” kata Ling.
Mujahid berkata dalam keputusan mahkamah sebelum ini juga jelas bahawa agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain.
“Keputusan
hakim di mahkamah ada menyebut, Islam pada awalnya sebagai adat di
majlis rasmi, kemudian pernah dibuat keputusan di Mahkamah Tinggi
menyatakan Islam tidak boleh dilihat sama dengan agama lain di Malaysia.
“Siapa
mempertikaikannya lebih tahu. Keputusan hakim boleh menafsir maksud
kedudukan Islam, sekaligus menjawab persoalan itu,” katanya kepada The
Malaysian Insider.
Ahli Parlimen
Parit Buntar itu berkata persoalan sama ada Malaysia sebuah negara
sekular ataupun tidak masih boleh diperbahaskan lagi.
Katanya, tidak
mudah untuk melabelkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, kerana
pelbagai tafsiran yang berkisar tentang kenyataan itu.
“Isu sekular
ini boleh dibahas secara akademik. Sesiapa yang terlibat dalam
perdebatan ini perlu bersifat objektif dengan realiti yang ada pada hari
ini.
“Jika hendak
berkata negara Islam, dipertikaikan juga apa definisi negara Islam?
Apakah terlaksana undang-undang, polisi, piawaian Islam? Sudah tentu
kita tidak katakan demikian,” katannya.
Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pada
Isnin, Malaysia bukan sebuah negara sekular kerana kedudukan istimewa
agama Islam berada dalam kerangka Perlembagaan.
Katanya, berdasarkan fakta sejarah menunjukkan raja-raja Melayu merupakan ketua agama Islam bagi negeri masing-masing.
Beliau berkata
kenyataan itu diperkukuhkan berdasarkan Perkara 3, Perlembagaan
Persekutuan yang jelas menyatakan agama Islam adalah agama bagi
Persekutuan, namun tidak menghalang agama lain diamalkan di negara ini.
"Oleh yang
demikian, kedudukan ini berbeza dengan negara sekular yang tidak
menetapkan sesuatu agama sebagai agama negara, tetapi rakyatnya
dibenarkan untuk mengamalkan agama mereka masing-masing," katanya dalam
jawapan bertulis kepada Ling.
Ahli Parlimen
DAP, Gobind Singh Deo semalam meminta Yang di-Pertuan Agong menggunakan
kuasanya di bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan bagi merujuk ke
Mahkamah Persekutuan dalam memastikan Malaysia sebuah negara sekular
ataupun tidak.
“Sebagai ahli
Parlimen, saya dengan penuh hormat memohon Baginda menggunakan kuasa di
bawah Perkara 130 Perlembagaan Persekutuan untuk merujuk hal negara
sekular ini kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkara 130
Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh
merujuk kepada Mahkamah Persekutuan untuk pendapatnya apa-apa soal
tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan yang berbangkit atau
yang tampak padanya mungkin berbangkit. – 18 Jun, 2014.
0 orang berkata:
Post a Comment