TPP: Pembangkang dakwa nama perjanjian samar
KUALA LUMPUR - Pembangkang mendakwa nama perjanjian yang digunakan
iaitu Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) begitu samar ekoran hanya enam
daripada 30 bab dalam teks perjanjian itu bersangkut dengan perdagangan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, nama
perjanjian ini berbeza dengan perjanjian untuk Eropah yang menggunakan
nama perjanjian Perkongsian Perdagangan dan Pelaburan Trans-Atlantic
(TTIP).
"Hanya 6 daripada 30 Bab perjanjian TPP bersangkut dengan perdagangan
(trade). Selebihnya berkaitan dengan hak dan perlindungan ‘pelabur’
(investor rights and protection) dan bab-bab 'bukan perdagangan' kerana
itu saya mengatakan tajuk perjanjian TPP ini samar," katanya ketika
membahaskan usul berkaitan TPP di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, tajuk perjanjian itu sepatutnya lebih jelas.
"Kenapa di benua Asia yang pernah merasa dijajah ia diberi tajuk samar
silap mata kesaksamaan iaitu perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
manakala di benua Eropah yang pernah merasa menjajah pula di beri nama
perjanjian Perkongsian Perdagangan dan Pelaburan Trans-Atlantic (TTIP)?
"Seperti antara dua darajat nampaknya. Apa salahnya kalau kita minta
yang lebih maju tandatangan dulu baru kita ikut itu pun kalau
menguntungkan?," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan tentang tindakan
kerajaan yang dilihat begitu pantas mahu menandatangani TPP.
"Walhal Perjanjian Malaysia 1963 mengambil masa lebih 50 tahun baru nak bincang tajuk-tajuk pelaksanaan," katanya.
Malah beliau menyifatkan sekiranya ahli-ahli Parlimen menyokong
perjanjian itu, ia juga bermakn mereka bersetuju kedaulatan negara
diswastakan kepada golongan 'Multi Nasional Corporation' (MNC).
"Lembu punya susu, MNC yang merasa. Rakyat sudah jelas dan sudah tahu
apa keburukan dan akibat penswastaan itu. Ini adalah Trans-Pacific
‘Privatisation’Agreement (TPP) sebenarnya," katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment