Gesa PKR hormati sensitiviti politik di Kelantan
KOTA BHARU - Pas Kelantan hari ini menempelak kepimpinan Parti Keadilan
Rakyat (PKR) pusat yang disifat tidak menghormati sensitiviti politik
Kelantan dalam isu menghadiri program dengan parti Amanah di negeri itu.
Timbalan Pesuruhjaya Pas I Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
berkata parti itu tidak pernah menghalang kerjasama antara PKR Pusat dan
Amanah, namun menegaskan di peringkat negeri, kedua-dua parti itu telah
mempunyai persefahaman bahawa PKR tidak akan menghadiri sebarang majlis
anjuran Amanah.
"Kami tak halang PKR Pusat dengan Amanah ini sebab dua-dua ada dalam
Pakatan Harapan...itu hak dia (PKR). Tapi kami minta supaya sensitiviti
di Kelantan ini diambil kiralah.
"Kami sebenarnya ada persefahaman antara Pas Kelantan dan PKR Kelantan
dalam isu ini, sebab itu kami minta supaya persefahaman antara kami dan
PKR Kelantan ini dihormati oleh PKR Pusat," katanya kepada pemberita
ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat exco di Kompleks Kota Darul
Naim di sini, hari ini.
Ketua Whip PKR Datuk Johari Abdul sebelum ini dilaporkan berkata parti
itu tidak mempunyai hubungan rasmi dalam bentuk 'hitam putih' dengan
Pas, sekali gus membolehkan PKR menghadiri program anjuran mana-mana
parti.
Pas Kelantan sebelum ini menghantar surat rasmi kepada PKR membantah
tindakan parti itu mengadakan ceramah bersama Amanah di negeri ini.
Ditanya adakah isu berkenaan akan menyebabkan PKR akan kehilangan lebih
banyak kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),
Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata perkara itu
belum diputuskan lagi.
"Setakat ini 'status quo kekal'. PKR bertanding di lima kerusi (pada
PRU13) tapi dia menang satu sahaja dan setakat ini belum ada
perbincangan kerusi antara Pas dan PKR di Kelantan. Ia bergantung kepada
keadaan," katanya. - Bernama
1 orang berkata:
Pas kena la hormat sensitiviti di selangor, jangan asyik hentam dap kerana dap rakan pkr dan jangan dilihat mesra umno kerana umno musuh pkr..
Post a Comment