Terkejut jumpa objek seperti serpihan pesawat
BESUT - Seorang tukang rumah terkejut apabila menemui satu objek
disyaki serpihan bangkai pesawat di tepi pantai Beting Lintang dekat
Kampung Raja, di sini petang semalam.
Penemuan serpihan tersebut menyebabkan timbul spekulasi ia mungkin
milik pesawat Malaysia Airlines System (MAS) penerbangan MH370 yang
hilang hampir dua tahun lalu.
Lelaki terbabit, Zakaria Muhammad, 26, berkata, dia menemui satu
serpihan logam besar itu ketika berjalan di tepi pantai bersama anak
perempuannya berusia 9 tahun kira-kira jam 6 petang.
Menurutnya, sebaik sahaja terpandang objek yang berada di dalam air di
tepi pantai tersebut, dia bertindak menarik objek tersebut ke pantai.
“Selepas terpandang objek tersebut, saya terus terlintas ia adalah serpihan pesawat (MH370) kerana bentuk dan warnanya.
“Apabila saya mendekati objek itu, saya bertambah yakin kerana ia
adalah kepingan logam tahan karat aluminium,” katanya ketika ditemui di
sini hari ini.
Zakaria berkata lagi, sebaik menemui objek itu petang semalam dia hanya
memaklumkan penemuan tersebut kepada beberapa penduduk kampung sebelum
berita penemuan itu menjadi heboh selepas tersebar melalui laman sosial
pagi tadi.
Menurutnya, bangkai tersebut yang dianggarkan berukuran kira-kira tiga
meter panjang dan satu meter lebar mempunyai beberapa lapisan logam
serta kesan telah terpisah daripada bahagian lain.
Zakaria lagi, ada beberapa individu dipercayai terlibat dalam bidang
penerbangan datang melihat serpihan ini kira-kira jam 11 pagi semalam
dan mendakwa serpihan tersebut dipercayai sebahagian daripada kulit
enjin sebuah pesawat.
“Penemuan ini sudah dimaklumkan kepada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) kampung ini semalam dan selepas itu orang
ramai berpusu-pusu datang untuk melihat objek tersebut,” katanya yang
seakan-akan bermimpi bertemu dengan serpihan sebuah pesawat itu.
Tinjauan Sinar Harian di lokasi tersebut mendapati kawasan tersebut
menjadi tumpuan orang ramai yang datang untuk melihat secara dekat
serpihan tersebut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Khaled Che Lah
diketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan objek yang
didakwa serpihan pesawat itu.
Menurutnya, anggota polis telah dihantar ke lokasi tersebut untuk
memeriksa dan mengawasi objek itu sebelum dibawa pulang ke Ibu Pejabat
Polis Daerah.
“Polis belum dapat mengesahkan apakah serpihan logam itu sebenarnya
tetapi dakwaan mengatakan serpihan logam itu menyerupai kulit bahagian
enjin pesawat.
“Kita akan serahkan kepada pihak berkaitan untuk membuat pemeriksaan dan mengesahkan objek yang ditemui itu,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment