Akhirnya Umno Kedah kalah di tangan sendiri
ALOR SETAR - Masing-masing cuba mempertahankan kumpulan sendiri dalam kemelut Umno Kedah sejak minggu lalu.
Kedua-dua pihak mengeluarkan kenyataan dan alasan sendiri untuk
mewajarkan tindakan mereka iaitu mengekalkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir
sebagai Menteri Besar Kedah dan Pengerusi Umno Kedah agar keadaan
kembali seperti sedia kala.
Manakala kumpulan atau penyokong Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk
Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pula mempunyai alasan lain agar dibuat
perubahan dalam pentadbiran negeri ini termasuk dari segi politik dan
parti pemerintah.
Kehangatan kedua-dua pihak mengeluarkan 'fatwa' dan hujah menampakkan
seakan-akan masing-masing terlupa bahawa mereka dari satu kapal yang
sama dan melayari ke destinasi yang sama.
Namun pertembungan yang berlaku kelihatan seolah-olah mereka adalah
dari parti berbeza dan cuba melakukan usaha bermati-matian demi survival
politik masing-masing di Kedah.
Seorang veteran Umno ketika ditemui mengakui masalah ini walaupun
nampak kecil tetapi rumit kerana melibatkan pertembungan idea dan
matlamat berbeza dalam Umno Kedah.
Beliau mengakui keadaan itu sudah melampaui batasan pemikiran waras
dengan penyebaran pelbagai 'emel layang' dan 'WhatsApp layang' termasuk
video tertentu seolah-olah mereka sudah berpatah arang berkerat rotan
untuk terus kekal dalam persada politik negeri Jelapang Padi ini.
Menurutnya, episod yang menyedihkan dalam Umno Kedah berulang lagi dan
tidak pernah menjadi iktibar dalam kalangan pemimpinnya sejak 1980-an
lagi.
“Peristiwa dan episod hitam yang berlaku sebelum ini tidak pernah
menyedarkan mereka. Sepatutnya mereka menoleh sebentar dan melihat kesan
dirasai Umno akibat perebutan kuasa sesama pemimpinnya.
“Kekalahan dalam PRU12 tidak pernah menginsafkan mereka untuk
bermuhasabah dan mengambil pedoman untuk tidak mengulangi kesilapan
sama.
“Umno membayar harga paling tinggi akibat kerakusan sesetengah
pemimpinnya untuk mengambil kuasa termasuk melalui cah keting atau tikam
rusuk kawan, apabila tewas dan gagal mengekalkan pentadbran kerajaan
negeri,” katanya.
Beliau bimbang episod hitam 2008 berulang jika tiada usaha ke arah
pemulihan dan penyatuan parti dilakukan segera kerana kini mereka
berpecah kepada beberapa puak atau kumpulan.
“Adakah ada jaminan kesan luka akibat perebutan kuasa tahun 2016 boleh sembuh dan pulih dalam masa dua tahun akan datang.
“Bolehkah mereka bekerjasama sebagai satu kumpulan untuk terus
mengekalkan kuasa pentadbiran negeri dalam PRU14 dan semua penyokong
bemaaf-maafan dan melupakan apa yang sudah berlaku,” katanya.
Tokoh veteran ini meragui keadaan itu akan tidak dapat membayangkan
nasib yang bakal menimpa Umno di Kedah dalam pilihan raya umum akan
datang.
“Dengan kekuatan dan sokongan rakyat sekadar nyawa-nyawa ikan, adakah Umno boleh bangkit dan melonjak semula selepas ini?
“Nasib baik pembangkang pun dalam keadaan meruncing. Tetapi ini tidak
boleh menjadi alasan atau sumber kekuatan untuk Umno berpaut dengannya.
Tidak logik untuk kita bangkit meraih kejayaan dengan menafikan
kelemahan sendiri sebaliknya menuding jari kepada pihak lawan,” katanya.
Seorang lagi veteran Umno berpendapat apa-apa tindakan perlu dilakukan
dengan teliti dan tidak melukakan hati mana-mana pihak dan perpaduan
dalam parti tidak terjejas.
“Kenapa perlu membuat hebahan untuk menyatakan rasa tidak puas hati atau tidak lagi percaya kepada kepimpinan.
“Kita masih ada banyak lagi cara lain untuk melakukan. Apakah pemimpin
Umno sudah tidak boleh duduk semeja dan berbincang sesama mereka untuk
mencari jalan terbaik agar peralihan kuasa dapat berjalan lancar tanpa
perlu membuka pekung di dada,” katanya.
Melihat kepada senario semasa, beliau menganggapnya seperti nasi sudah
menjadi bubur dan agak sukar kedua-dua pihak menarik brek tangan atau
menggunakan 'gear gostan' bagi meredakan keadaan.
“Saya bimbang dengan kekuatan dan keutuhan Umno Kedah yang makin
merosot, kita akan keciciran dan akhirnya tewas di gelanggang sendiri
akibat sikap balas dendam sesama sendiri.
“Orang luar akan tepuk tangan melihat pergesesaran yang berlaku dalam
Umno Kedah. Jangan lupa pesan orang tua - menang sabung kampung
tergadai,” katanya.
Menurutnya, apa guna mendapat jawatan dan kedudukan tetapi ia tidak dapat dipertahankan dalam pilihan raya kelak.
“Akhirnya yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu. Tiada siapa pun yang untung dalam kemelut kali ini,” katanya.
Untuk itu, tokoh ini meminta semua pemimpin Umno Kedah perlu menilai
diri sendiri dan melihat semula matlamat perjuangan mereka selama ini
sama ada benar-benar untuk bangsa, agama dan tanah air atau sebaliknya
untuk diri sendiri dan orang sekeliling sahaja.
“Umno bukan bertunjangkan kepada perjuangan individu tetapi secara
kumpulan. Pemimpin datang dan pergi tetapi Umno perlu terus unggul dalam
persada politik tanah air dengan syarat diurus dengan baik, jujur,
ikhlas dan sabar,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment