KUALA LUMPUR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini

 mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa
 sebagai Ketua Penerangan Umno yang baharu, menggantikan Datuk 
Ahmad Maslan.   

Beliau berkata Ahmad, yang juga Anggota Parlimen Pontian, akan
 memegang portfolio baharu sebagai Pengerusi Biro Teknologi Maklumat
 parti.

Najib yang juga Perdana Menteri, turut mengumumkan Datuk Seri Abdul
 Azeez Abdul Rahim (Anggota Parlimen Baling) sebagai Pengerusi Biro 
Daftar Pemilih dan Keanggotaan parti dan Datuk Johari Abdul Ghani 
(Anggota Parlimen Titiwangsa) sebagai Pengerusi Biro Ekonomi.   

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Anggota Parlimen Kepala Batas
) pula menjadi Pengerusi Biro Pelajar Luar Negara Umno, kata Najib pada
 sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi 
Umnodi sini hari ini.    

Selain itu, beliau berkata Datuk Mohd Razali Ibrahim (Anggota Parlimen Muar)
 menerajui Biro Institusi Pengajian Tinggi Swasta manakala Datuk Shamsul 
Anuar Nasarah (Anggota Parlimen Lenggong) pula menjadi Pengerusi Biro
 Kebajikan.

Najib seterusnya berkata Majlis Tertinggi Umno turut berbincang mengenai 
perkara seperti tarikh persidangan tahunan Umno peringkat cawangan dan 
peringkat bahagian bagi tahun ini, serta sambutan Ulang Tahun Umno 
ke-70 pada 11 Mei ini.

"Kita telah memutuskan persidangan tahunan untuk cawangan-cawangan parti
 akan bermula 18 Mac 2016 hingga 1 Mei 2016, (manakala) mesyuarat 
perwakilan bahagian pada 1 Ogos sehingga 15 September.

"Kita juga berbincang tentang sambutan Hari Ulang Tahun Umno ke-70 ...
 acara sambutan ini akan kita beri butirannya secara lebih lanjut lagi sebab
 tempat cadangan asal (iaitu) Stadium Nasional Bukit Jalil tidak boleh
 digunakan kerana sedang dibangunkan semula," katanya.

Beliau berkata antara program yang dirancang bersempena sambutan itu ialah
 larian bendera dan karnival sukan, dan ia akan dikendalikan oleh Ketua 
Pemuda Umno merangkap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
Sementara itu, Annuar, ketika ditemui pemberita, berkata beliau berterima
 kasih kepada presiden kerana mengamanahkan kepadanya tugas yang 
besar dalam Umno.

"Saya sedar jawatan ini berat tanggungjawabnya ... saya perlukan kerjasam
 semua pihak dalam Umno sama ada pengerusi-pengerusi perhubungan, 
sayap-sayap mahupun anggota parti," katanya. - Bernama