ALOR SETAR - Pada mulanya nampak mudah proses peralihan kuasa antara
 dua tokohUmno di Kedah tetapi kini belum ada kata putus dan masih 
menjadi tanda tanya setelah 10 hari berlalu.

Tetapi ia kelihatan seakan-akan makin rumit untuk menggantikan Datuk
 Seri Mukhriz Mahathir dengan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah 
sebagai Menteri Besar (MB) Kedah.

Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Jemaah
 Pemangku Sultan Kedah di Istana Darul Aman di Bukit Persekutuan, 
Kuala Lumpur pagi semalam belum mencapai kata sepakat mengenai 
usaha untuk melakukan pertukaran MB Kedah.

Bagaimanapun, satu sumber yang terdekat memaklumkan Najib dijangka
 menghadap Jemaah Pemangku Sultan Kedah sekali lagi untuk merungkai
 sebarang rintangan pada penghujung minggu hadapan bagi membolehkan 
peralihan kuasa dilakukan dengan sempurna.

Mukhriz yang didesak mengosongkan jawatan enggan berbuat demikian
 dengan alasan masih mendapat sokongan rakyat dan tidak mahu
 mengkhianati amanah yang diserahkan rakyat kepadanya selepas BN
 berjaya merampas semula Kedah dari PR dalam PRU13.

Kumpulan dan penyokongnya kelihatan tidak duduk diam dan melakukan
 pelbagai cara untuk meraih sokongan ramai .

Manakala kumpulan Ahmad Bashah kelihatan mengambil sikap berdiam 
diri dan mengunci mulut untuk meredakan keadaan dan tidak mahu ia 
menjadi bahan ledakan yang boleh merugikan Umno sendiri.

Jika sebelum ini, ramai Adun dan Exco dalam pentadbiran kerajaan negeri 
boleh diajak berbual dengan wartawan tetapi sejak semalam, semuanya 
membisu seribu bahasa.

Masing-masing memberi pelbagai alasan elakkan diri terjebak dengan
 kontroversi yang mungkin menjeratkan diri sendiri kelak jika tersalah
 cakap.

Walaupun dianggap masalah dalaman Umno Kedah tetapi isu itu kini 
dilihat mula menimbulkan bibit-bibit perpecahan dan boleh menjejaskan
 perpaduan dalam kalangan ahli Umno.

Kejadian pagi semalam yang dicetuskan penyokong Mukhriz kerana 
erkumpul di hadapan pusat khidmat Ahmad Bashah yang juga Adun 
Bakar Bata adalah tindakan yang keterlaluan.

Seorang bekas pemimpin Umno ketika ditemui menganggap tindakan
 itu seolah-olah menceroboh sempadan dan ingin menunjuk lagak dan
 kekuatan di gelanggang lawan.

“Jika betullah seperti didakwa mereka adalah penyokong Mukhriz, ia 
dianggap tindakan kurang wajar dan biadab,” katanya.

Oleh itu, beliau meminta Mukhriz menghormati suara pemimpin bahagian
 Umno Kedah yang sudah menolak kepimpinannya tanpa bergantung 
'talian hayat' pihak lain.

Menurutnya, kemelut itu akan selesai jika Mukhriz bijak membuat 
perhitungan sendiri dan tidak membiarkannya meleret .

“Suka tidak suka, Mukhriz perlu memberi laluan kepada tokoh Umno lain 
iaitu Ahmad Bashah yang disebut-sebut bakal MB Kedah baru untuk 
mengelakkan lebih banyak masaklah dalam Umno.

“Itulah adat dalam politik. Ada masa di atas dan sampai masa berada 
di bawah pula. Sebagai pemimpin berjiwa besar, kita perlu tahu bila masa 
yang sesuai untuk keluar dari pintu hadapan dan bukan melalui pintu 
dapur atau tingkap,” katanya
.