Turunkan menteri besar secara berhemah
ALOR SETAR - Krisis pertukaran menteri besar melibatkan kepimpinan Umno
Kedah tidak wajar berlaku secara desakan oleh pimpinan parti, berikutan
calon menteri besar dipilih secara harmoni selepas PRU13.
Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata,
sekiranya terdapat pihak tertentu mahu menurunkan Menteri Besar sedia
ada, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sewajarnya ia dilakukan secara
berhemah.
“Tidak munasabah proses menukar menteri besar dibuat secara tidak
beradab dan tidak mengikut saluran, malah dibuat secara desakan yang
boleh mencetuskan provokasi. Tindakan itu turut menyebabkan rakyat
diheret dalam kancah perebutan kuasa antara pihak bertelagah, yang entah
bila akan berakhir,” katanya.
Menurutnya, krisis perebutan kuasa dalam Umno Kedah secara tidak
langsung menyebabkan pentadbiran kerajaan negeri tempang ekoran
ketidakpercayaan anggota Exco dan Adun terhadap Mukhriz.
“Rakyat menantikan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak selepas adakan pertemuan bersama 14 Ketua Bahagian Umno Kedah,
yang hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, namun tiada sebarang
penjelasan dibuat, memperlihatkan kegagalan beliau menyelesaikan
krisis,” katanya.
Dibimbangi apabila pentadbiran tidak stabil, rakyat menjadi mangsa
berikutan banyak urusan terganggu ekoran krisis yang tercetus kerana
melibatkan pentadbiran tertinggi kerajaan negeri.
“Pelabur juga akan hilang kepercayaan terhadap negeri ini akibat
ketidakstabilan politik. Kesannya kelak merugikan rakyat,” katanya.
Ahmad Fakhruddin berkata, rakyat harus membuka mata dan melihat kemelut
yang tercetus ini adalah gara-gara perebutan kuasa pihak tertentu yang
menggambarkan mereka lebih mementingkan kuasa dan kepentingan diri
berbanding kepentingan rakyat.
“Apa yang dikesalkan, krisis ini berlaku ketika rakyat terbeban dengan
tekanan kos sara hidup selain pelbagai skandal yang merugikan negara.
Pihak yang bertelingkah itu dianggap tidak menghormati Sultan Kedah
kerana mencetuskan kontroversi di saat rakyat meraikan hari keputeraan
baginda,” katanya.
Tegasnya, Pas Kedah mengulangi pendirian supaya krisis yang boleh menjejaskan kepentingan awam ini diselesaikan segera.
0 orang berkata:
Post a Comment