ALOR SETAR - Satu pertemuan antara BN dengan Anggota Jemaah Pemangku 

Sultan Kedah akan diadakan di sini esok, dipercayai berkaitan kemelut politik
 membabitkan kedudukan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.


Beberapa Adun mengesahkan telah dimaklum mengenai pertemuan itu
 yang dijangka berlangsung di Wisma Darul Aman, 2 petang esok.

Seorang Adun yang enggan namanya dinyatakan berkata, beliau menerima
 makluman tersebut menerusi WhatsApp tetapi enggan mengulas lanjut.

"Surat tiada, tetapi saya mendapat mesej untuk hadir ke pertemuan itu esok,
" katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi Adun berkata, beliau mendapat mesej mengenai perkara itu dan 
dihubungi oleh seorang pegawai dari Wisma Darul Aman.

Sementara itu, seorang Adun terlibat mengesahkan akan hadir pertemuan
 itu, dan difahamkan mereka akan dipanggil mengadap seorang demi seorang. 

Suasana politik di Kedah 'panas' sejak kebelakangan ini apabila Mukhriz 
menerima tekanan daripada Adun dan Ahli Parlimen Umno Kedah, serta 
pemimpin kanan Umno negeri yang diketuai timbalan pengerusi Umno Kedah
 Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mereka secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan 
Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri.

Terdapat maklumat bahawa 19 daripada 21 Adun BN - 17 daripada Umno 
dan dua MCA - telah menandatangani surat akuan menyatakan hilang 
kepercayaan terhadap Mukhriz.

Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadap 
Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Tan Sri Sallehuddin 
Almarhum Sultan Badlishah, yang juga Tunku Temenggong Kedah, di Istana
 Darul Aman, Bukit Persekutuan di ibu negara bagi membincangkan mengenai
 pertukaran Menteri Besar.

Turut hadir pada pertemuan hampir sejam itu adalah dua lagi anggota 
jemaah iaitu Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani
 dan Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Shafinaz 
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Najib dalam sidang media pada hari yang sama selepas mempengerusikan
 mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, 
Kuala Lumpur dilaporkan sebagai berkata beliau telah menyembah maklum
 beberapa cadangan kepada Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah 
berhubung kemelut berkenaan. - Bernama