Pakatan Pastikan Hasil Negara Dipulang Kepada Rakyat
26 September 2012
Pakatan Rakyat (Pakatan) komited melaksanakan reformasi ekonomi dalam
memerangi rasuah dan memastikan kekayaan hasil negara diagih secara
adil kepada rakyat, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Reformasi ekonomi yang ditawarkan Pakatan bukan hanya berkisar soal
menggantikan rejim lama dengan pemerintahan baru, tetapi suntikan
kebangkitan kepada sektor ekonomi negara,” kata Ketua Umum KEADILAN itu.
Menurutnya, pemerintah Umno hari ini mewarisi amalan ekonomi lapuk
yang penuh dengan rasuah, kronisme dan dan nepotisme yang kian parah.
“Sikap buruk itu harus dihentikan, bukan dengan retorik transformasi,
tetapi dengan reformasi ekonomi yang konsisten,” kata Anwar.
Tambahnya, dasar afirmatif yang ditawarkan kerajaan sekarang tidak
patut kerana hanya memberi manfaat kepada mereka yang rapat dengan
golongan elit pemimpin.
“Sudah tiba masanya kita kembali kepada matlamat asal untuk membantu
mereka yang benar–benar memerlukan dan layak,” jelas Anwar ketika
berucap di hadapan lebih 350 tokoh korporat di Kelab DiRaja Selangor,
semalam.
“Sistem tender terbuka yang diamalkan di negeri Pakatan tidak hanya
memastikan perjalanan proses lebih telus dan adil, malah mampu
mengurangkan kos projek lalu merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih
kukuh,” kata Anwar lagi.
“Demi rakyat, reformasi akan kita laksanakan apabila Pakatan menerajui Putrajaya kelak,” kata Anwar.
0 orang berkata:
Post a Comment