Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Jawatankusa sambutan Kemerdekaan Selangor beri penjelasan pada mesyuarat exco esok

September 04, 2012
SHAH ALAM, 4 Sept — Jawatankuasa Sambutan Kemerdekaan Selangor akan memberikan penjelasan berhubung isu tidak menjemput Sultan Selangor pada program ambang merdeka mereka kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim pada mesyuarat esok.

Khalid (foto fail), yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Ijok, ketika berkata kepada pemberita hari ini beliau percaya jawatankuasa berkenaan mempunyai pendirian mereka berhubung perkara itu, dan beliau akan mendapatkan penjelasan daripada mereka esok.

“Saya percaya jawatankuasa sambutan yang diketuai SUK (Ketua Setiausaha Negeri Selangor Datuk Khusrin Munawi) mempunyai jawapan tentang perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri, anjuran Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) di sini.

“Saya perlu beri mereka peluang jelaskan apa yang berlaku dan apa yang patut dilakukan.

“Kalau perlu beri penjelasan, kita akan beri penjelasan,” katanya dan menambah program kerajaan negeri dan melibatkan pihak istana kebiasaannya tidak dilaksanakan secara mengejut sebaliknya dimaklumkan sehingga dua bulan lebih awal.

“Program melibatkan sultan dan program negeri biasanya dibuat lebih awal ... bukan ‘ad-hoc’.
“Ada (persiapan) program dibuat sehingga dua bulan lebih awal,” katanya lagi.

Tambahnya, segala persiapan untuk program-program seperti itu juga dibuat secara teratur oleh wakil jawatankuasa protokol program.

“Ada pegawai protokol yang akan mengingatkan kita bagaimana program itu dilakukan,” tambahnya lagi.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini melalui Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani, telah mempersoalkan tindakan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang tidak menjemput baginda menghadiri program sambutan ambang Kemerdekaan di Dataran Shah Alam, sebaliknya menjemput Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selangor bagaimanapun menafikan mereka sengaja membelakangi sultan kerana tidak menjemput baginda dalam majlis sambutan ambang Kemerdekaan ke-55 di Dataran Shah Alam pada malam Khamis lalu.

Sebaliknya, kerajaan negeri itu menjelaskan adalah sudah menjadi tradisi dan amalan negeri berkenaan tidak menjemput Sultan Sharafuddin untuk menghadiri majlis sambutan ambang Kemerdekaan negeri.

Menurut Faekah Husin, Setiausaha Politik MB Selangor, amalan berkenaan bukan baru dilaksanakan ketika pemerintahan PR, tetapi turut dipraktikkan sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional di negeri terkaya itu sebelum tewas dalam pilihan raya umum 2008 kepada PR.

“Memang menjadi tradisi sejak empat tahun lepas Tuanku Sultan tidak dijemput dan hadir untuk program sambutan ambang Kemerdekaan,” kata Faekah ketika dihubungi The Malaysian Insider baru-baru ini.

“Baginda hanya dijemput berangkat ke majlis Yasin dan Tahlil di masjid negeri, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

“Tapi sekiranya pada tahun ini baginda berniat untuk mencemar duli turun ke sambutan ambang merdeka, Setiausaha Sulit baginda Datuk Mohamad Munir Bani perlu memaklumkan kepada kami, tapi tiada sebarang makluman berkenaan perkara itu daripada beliau,” jelas Faekah lagi.

Malah, beliau turut meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Munir di media yang menunjukkan seolah-olah kerajaan PR Selangor cuba membelakangkan sultan.

Munir berkata tindakan oleh PR Selangor itu menimbulkan tanda tanya kerana Anwar tidak menjawat sebarang kedudukan tertinggi di peringkat negeri, sebaliknya hanya bertindak selaku Penasihat Ekonomi negeri.

“Tuanku Sultan melahirkan rasa pelik mengapa Anwar yang tidak berada dalam jawatan tertinggi negeri menjadi tetamu kehormat,” kata Munir. “Beliau tidak memegang sebarang portfolio rasmi kecuali sebagai Penasihat Ekonomi.

“Kebiasaannya kalau Tuanku tidak dapat hadir dalam program rasmi negeri, Menteri Besar akan menggantikan baginda untuk memberi ucapan,” katanya dan menambah, “tetapi mengapa Anwar yang dijemput, ini program rasmi, bukan politik”.

Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga turut menegaskan, tindakan kerajaan PR Selangor itu bukanlah satu tindakan yang mengejutkan.

Sebaliknya, beliau berkata kerajaan negeri itu juga lebih menghormati Anwar yang tidak mempunyai “locus standi” berbanding Sultan Selangor.
“Soal tidak hormat Sultan Selangor bukan mengejutkan kita,” tegas Pengerusi Barisan Nasional itu. “Mereka lebih hormat penasihat ekonomi yang tidak ada locus standi.”

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.