Lim Kit Siang
Lim Kit Siang
SHAH ALAM - Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar memaafkan Muhammad Ammar A Rahman dan model sambilan Ong Sing Yee, yang menjadi fokus kontroversi insiden 30 Ogos lalu, serta kedua-dua ibu bapa mereka dengan semangat berhemah.

Selain itu, beliau juga mahu Peguam Negara menerima permohonan maaf mereka dan tidak mengambil tindakan undang-undang.

"Dari awal lagi, saya telah menyatakan pendirian saya bahawa saya tidak memihak atau menyokong tindakan Muhammad Ammar dan Ong Sing Yee.

"Apa yang telah mereka lakukan adalah satu tindakan yang dikesali dan merupakan satu kesalahan," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kedua-dua remaja itu, yang dikaitkan dengan tuduhan menunjuk punggung dan memijak gambar pemimpin negara, dan keluarga mereka telah memohon maaf kepada Najib dan seluruh rakyat Malaysia.

Mereka menyerah kepada polis dan telah dilepaskan selepas diambil keterangan.

Permohonan maaf turut diulangi oleh Muhammad Ammar dan ibu bapanya pada satu sidang media di Batu Pahat semalam.

Sambil menegaskan, rakyat Malaysia berhak untuk menikmati kelakuan sivil dan tertib di khalayak ramai, Penasihat DAP ini menambah, "rakyat Malaysia kini rimas dengan tindakan kuku besi Barisan Nasional ‘double-standard’ dalam pengendalian isu ini."

Sebagai contoh, katanya, "Perlukah Ong digari seakan seorang yang merbahaya apabila dia telah menyerah diri kepada pihak polis."

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan pengakuannya bahawa apa yang telah dia  lakukan adalah salah dan bersedia menghadapi akibat tindakannya.

"Akan tetapi, adakah wajar tindakan pihak polis untuk menganggap dia sebagai penjenayah yang perlu digari dan pada masa yang sama VIP BN termasuklah menteri dan bekas menteri diberi layanan ‘istimewa’ walaupun dituduh dengan dakwaan jenayah terhadap rakyat dan negera?" kata beliau lagi.

Kit Siang juga berkata, tindakan membuang Muhammad Ammar dari kolej merupakan satu tindakan yang amat keras.

"Dan, dia mesti dibenarkan menyambung semula pengajiannya," katanya lagi.

Dalam kenyataannya, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau terperanjat membaca laporan bahawa pihak polis telah menahan dua pemuda yang telah membentangkan bendera Sang Saka Malaya pada hari yang sama insiden walaupun telah menafikan apa-apa tuduhan untuk menggantikan Jalur Gemilang tetapi sedang turut serta dalam satu memori sejarah.

Kit Siang menambah, Barisan Nasional kian bertindak dengan tidak bertanggungjawab dalam mengeksploitasikan kedua-dua insiden ini dan melemparkan tuduhan palsu terhadap Pakatan Rakyat bahawa ia berhasrat untuk menukar bendera kebangsaan dan untuk meminda Perlembagaan untuk memansuhkan sistem raja berperlembagaan dan menubuhkan satu negara republik.

"Fitnah, tohmahan dan pembohongan seperti ini kian merebak dan menjadi penyumbang utama kepada ‘usaha’ untuk memecahbelahkan perpaduan serta pembangunan negara," katanya lagi.