KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia bukan alat mana-mana negara dan akan berpegang teguh kepada prinsip undang-undang dalam siasatan berhubung kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang berdaulat, Malaysia tidak boleh dipaksa atau dibuli dalam apa-apa bentuk tindakan yang dianggap sebagai tidak wajar.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita mempunyai hubungan baik dengan Korea Utara selama ini, dan kita tidak berniat untuk memburuk-burukan imej Korea Utara, dan kita sangat objektif.

“Malaysia akan berdiri teguh. Kita berpandukan kepada prinsip undang-undang  untuk mengetahui kebenaran kerana jenayah itu dilakukan di Malaysia,” kata beliau pada sidang media selepas merasmikan Program Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) Zon Tengah 2017 di sini, hari ini.

Najib diminta mengulas mengenai hubungan Malaysia-Korea Utara susulan kritikan oleh Duta Korea Utara Kang Chol berhubung siasatan terhadap pembunuhan Jong-nam.

Najib berkata, komen oleh duta Korea Utara itu yang meragui siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia adalah “tidak wajar sama sekali” dan “biadab daripada segi diplomatik.”

“Mereka (Korea Utara) sepatutnya membantu kita untuk merungkai kebenaran. Itu yang lebih penting daripada (membuat) kenyataan melulu dan tidak berasas,” kata Najib.

Pada 13 Februari lalu, Jong-nam berada di KLIA2 kira-kira 8 pagi, menunggu untuk menaiki penerbangan ke Macau, apabila seorang wanita tiba-tiba menekup mukanya dengan kain dipercayai mengandungi cecair beracun.

Jong-nam meminta bantuan di kaunter khidmat pelanggan sebelum segera dikejarkan ke Hospital Putrajaya tetapi meninggal dunia dalam perjalanan. - Bernama