KUALA LUMPUR - [VIDEO] Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini menggesa seluruh pengguna supaya memboikot keseluruhan produk keluaran Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd bagi memberi pengajaran kepada syarikat tersebut.

Presidennya Datuk Nadzim Johan berkata, sudah terlalu lama pengguna di Malaysia tertipu dengan 'kehalalan' produk tersebut, oleh itu tindakan memboikot secara keras perlu dilakukan.

"Kita sebagai pengguna bukan sahaja perlu memboikot dua produk Cadbury tersebut, malah keseluruhan produk keluaran syarikat itu.

"Biar sejarah tercipta, supaya ianya dapat memberi pengajaran kepada syarikat lain,baru mereka tahu kuasa pengguna," katanya ketika sidang media yang diadakan di Villa Puteri, di ibu negara hari ini.

Menyentuh perkara yang sama, Nadzim turut menggesa supaya Jakim bertindak lebih bertegas dalam soal yang melibatkan kemaslahatan pengguna.

"Jakim jangan terlalu berlembut, biar nampak ketegasan dalam bertindak.

"Kita sudah terlalu lama berbaik dalam hal ini saya juga mencadangkan agar Jakim membuat semakan sijil halal dua bulan sekali kepada semua syarikat yang telah mendapat sijil halal daripada Jakim, ini supaya bagi memastikan supaya syarikat itu, menjaga status halal yang mereka perolehi," jelasnya.

Isu memboikot syarikat Cadbury ini timbul apabila dua sampel coklat keluaran syarikat itu dilaporkan mengandungi DNA khinzir ialah Cadbury Coklat Susu dengan Kacang Hazel (nombor kelompok 200813M01H12) dan Cadbury Coklat Susu dengan Buah Badam (nombor kelompok 221013N01RI1).

Selain itu semalam, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) bersama 80 NGO akan bertindak memfailkan saman ke atas syarikat Cadbury.

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, tindakan saman itu bagi menuntut kerugian dan penipuan yang dilakukan syarikat tersebut kepada pengguna Islam.

"Kami akan memfailkan saman ini dan menganggarkan jumlah tuntutan sebanyak RM100 juta," katanya.