Shamsul Amri Baharuddin
Shamsul Amri Baharuddin
 
SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, mempunyai pengaruh kuat pada akar umbi dan pasti memberi kesan positif sekiranya beliau kekal dalam Pas.

Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, Nasharudin merupakan ulama Pas yang boleh membawa parti itu ke tahap tertinggi.

Menurutnya, Pas akan terus dihormati berdasarkan pengaruh dan kredibiliti yang beliau miliki.

"Jika Nasharudin dikekalkan, parti itu tidak akan menghadapi impak negatif, sebaliknya, kehadiran Nasharudin boleh mengelakkan dominasi (Ketua Umum Pakatan Rakyat) Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap parti tersebut.

"Kehadiran beliau sangat penting untuk menolak pengaruh Anwar. Pas hari ini bukan lagi satu parti akibat penggabungan bersama Pakatan Rakyat (PR)," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, kelantangan Nasharudin sebelum ini hanya disebabkan beliau mahu melihat Pas terus dihormati sebagai parti yang berjuang di atas landasan Islam.

"Dengan adanya parti komponen dalam PR menyebabkan Nasharudin tidak disukai. Jika tiada orang seperti Nasharudin, mungkin selepas ini Pas akan menjadi Parti Keadilan Rakyat Melayu atau Parti Keadilan Rakyat Islam yang mahu dicipta Anwar.

"Oleh itu, Pas akan lebih teguh jika terus mengekalkan Nasharudin sebagai ahli. Sebaik-baiknya beliau diberi jawatan tinggi," katanya.