DAP: ‘Tweet’ Ngeh Koo Ham tidak wajar
19 September 2012
SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Dr Tan Seng Giaw
berkata, kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo
Ham mengenai perhimpunan yang hendak diadakan Jumaat ini berhubung filem
menghina Nabi Muhammad SAW, tidak sepatutnya dikeluarkan.
“Saya menasihati Pengerusi DAP Perak ini supaya tidak menyentuh lagi
perkara yang berkaitan dengan agama Islam kerana boleh menyinggung
perasaan umat Islam di negara ini ,” kata beliau kepada Sinar Harian
Online hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, perkara yang berkaitan
dengan agama perlu dielakkan, tidak mengira pemimpin DAP atau siapa
saja.
"Perkara yang menyentuh sensitiviti agama ini tidak harus
dibangkitkan,” ulas beliau mengulas kecaman dan kritikan terhadap mesej
Twitter dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Beruas itu.
Dalam pada itu, pemimpin dua komponen PR iaitu Pas dan PKR juga
menegaskan kenyataan Koo Ham dalam laman sosial Twitternya sebagai
tindakan tidak bertanggungjawab dan kini mengundang rasa marah.
[KOMEN NGEH: Ngeh: 'Jangan jadikan saya seolah anti-Islam']
Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh berkata, kenyataan yang dikeluarkan
Khoo Ham itu merupakan tindakan yang tidak rasional kerana beliau
sepatutnya menyedari kenyataan melalui ‘twitter’ itu boleh menyentuh
sensitiviti umat Islam negara ini.
“Ini merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh seorang
pemimpin. Saya percaya setiap agama tidak mengajar penganutnya untuk
menghina agama lain,” tegasnya.
Penyiaran filem 'Innocence of Muslims' menimbulkan kemarahan umat Islam
seluruh dunia kerana menghina Nabi Muhammad SAW berikutan motif filem
tersebut jelas menghina agama Islam.
Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, beliau percaya yang
rakyat negara ini harus berpadu tenaga tanpa mengira agama bagi menolak
penyebaran filem sedemikian.
“Justeru itu, saya cukup tidak bersetuju apabila pemimpin DAP sanggup
mengeluarkan kenyataan yang menghina agama Islam ini. Kita sepatutnya
sepakat dalam isu ini, bukan menghina agama lain,” ulasnya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub pula berkata, kenyataan Khoo Ham merupakan tindakan yang tidak wajar.
Tambah beliau, semangat untuk menghalang filem ini daripada terus
ditayangkan harus dimainkan oleh semua pihak tanpa mengira agama dan
latar belakang politik.
“Tidak kiralah Pas, Umno, DAP atau PKR sekalipun, semangat itu yang paling penting,” tegas Ahli Parlimen Kubang Kerian ini.
0 orang berkata:
Post a Comment