Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.
 
KOTA BHARU - Di sebalik ura-ura mengatakan Pas Kelantan tidak lagi membawa masuk calon import, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli  kemungkinan besar dikekalkan untuk mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya tidak bermasalah untuk menerima calon luar sekiranya ia memberi kelebihan kepada parti secara keseluruhan.


“Calon luar,  kita serah kepada Pas Pusat, kalau ada kita pertimbangkan, apa yang  pasti saya dengar Dr Hatta kekal (di Kuala Krai), yang lain saya tak pasti,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir mewakili Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat merasmikan Maybank cawangan Kubang Kerian di sini semalam.


Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Negeri berkata, setakat ini tiada nama artis yang dicalonkan untuk bertanding di Kelantan termasuk Wan AishahWan Ariffin atau Aishah yang sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding.


Bagaimanapun katanya, apa yang penting seseorang yang ingin menjadi calon Pas mesti memiliki akhlak yang tinggi selain berpotensi untuk menang.


Dalam pada itu ditanya kedudukan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa di Bachok, Mohd Amar berkata, beliau difahamkan Pas kawasan minta untuk meletakkan calon tempatan.


“Saya tidak tahu apa yang diputuskan dalam Majlis Syura, saya pun tidak boleh jawab statusnya, namun cadangan untuk meletakkan calon tempatan mungkin dipertimbangkan, namun terserah kepada Pusat,” katanya.


Selain Dr Hatta dan Nasharudin,  turut bertanding di Kelantan  pada PRU12 Naib Presiden, Salahuddin Ayub.