Ahad, 9 September 2012
Politik Biadap, Tayang Punggung dan Hukuman Antara Dua Darjat
Aksi yang sama, namun hukuman berbeza. Bezanya mereka menyokong pemimpin kerajaan sementara pihak sana menunjukkan protes kepada pimpinan kerajaan.
Tiada siapa dapat menafikan aksi ‘tayangan punggung’ sebagai satu tindakan biadap dan menyalahi adat ketimuran nusantara yang didukung oleh masyarakat kita.
Persoalan yang ingin dibangkitkan di sini, soal hukuman yang nyata berat sebelah dan dirasakan tidak wajar dihadapi oleh kedua-dua pihak.
Memang benar aksi biadap tersebut nyata tidak mencerminkan budaya rakyat merdeka dalam negara tercinta ini tidak kira pada ketika itu disaksikan beratus penyokong disekeliling mahupun kumpulan sendiri.
Apakah dirasakan ‘sopan’ membuat aksi sedemikian dihadapan rumah orang sehingga mengganggu ketenteraman jiran tetangga yang tidak bersalah?
Mengapa pelajar mentah berhadapan hukuman dibuang kolej dan dihentikan pinjaman PTPTN selain berhadapan risiko masa depan yang gelap sedangkan kumpulan bekas tentera masih dibiarkan berlegar dengan girang dengan senyuman?
Tindakan pantas pihak berkuasa suatu perkara yang perlu dipuji. Namun mengapa tindakan pantas terpilih yang dibuat?
Kita jangan lupa sebelum ini tindakan lebih biadap dibuat oleh kumpulan ‘syaitan yang dikenali’ yang penuh selamba merembeskan urin ke poster Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan menghantar kek berbentuk ‘tahi’ ke pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Fikir sejenak dua situasi berbeza mengenai kebiadapan. Satu, gambar diherdik dengan tayangan punggung sementara sekeping gambar lain dihujani rembesan urin. Mana lebih memeritkan?
Biadap sudah semestinya tanggapan sesuai untuk keduanya cuma berfikir di luar kotak seketika mana yang LEBIH biadap.
Jangan kita lupa kebiadapan bangsa sendiri yang membuat huru-hara di Rumah Allah tempoh hari.Dengan mendabik dada menyatakan mereka menentang dasar politik huru-hara, mempolitikkan surau/masjid tapi siapa sebenarnya yang membudayakan perkara ini sejak bertahun lamanya?
Adakah gambar pemimpin dunia yang lemah lagi tidak berkuasa disisi Maha Pencipta lebih mulia daripada kesucian masjid?
Mengapa media arus perdana lebih ‘berminat’ mengulang siar isu tayangan punggung daripada kebiadapan terhadap kesucian Islam?Ketahuilah selagi masyarakat masih berfikiran politik dengan agama tidak boleh dipisahkan, inilah hasilnya.
Disuruh dalami ilmu agama sudahlah tidak menunjukkan minat sekarang merosakkan majlis ilmu dengan aksi dangkal kononnya ‘Akulah jaguh mempertahankan kesucian Islam’. Kelakar bukan?!!
Benar bait lirik lagu Malique Ibrahim melalui karya Aku Maafkan Kamu, ‘Mereka tidak fasih malah fasiq guna kata, kita kongsi warna mata tapi tidak kasta bahasa’.
Saya secara peribadi tidak menyokong tindakan kedua-dua entiti namun harus diingat hukuman yang dikenakan akan dipersoal bila tiba ‘masa balas budi’ dari Allah SWT.
Hukumlah dengan setimpal dan adil bagi mendidik masyarakat. Bukannya menunjukkan belang ‘aku sedang berkuasa maka aku berhak menentukannya agar mereka berasa gerun’.
Gunakanlah hak berfikir sebelum meminta hak untuk bersuara kerana hati dan akal itu perlu selari sebelum mengatur langkah.TVS
0 orang berkata:
Post a Comment