Najib: 'Saya rasa nak umum pilihan raya dah'
6 September 2012
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, beliau sudah mahu mengumumkan tarikh PRU13 yang dinanti-nantikan banyak pihak.
"Ambo rasa nak umum pilihan raya dah. Pilihan raya ini sebenarnya untuk apa. Ini adalah untuk masa depan kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jom Beraya Bersama Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah di sini, hari ini.
Hujung bulan lalu, ketika berucap di Baling, Kedah, Najib secara berseloroh berkata, beliau sudah ada semangat untuk membubarkan Parlimen.
"Semangat nak bubar Parlimen... tengoklah dulu," kata beliau di akhir ucapannya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan berkumpulan enam bahagian Umno Selatan Kedah di Kompleks Rakan Muda Baling.
Sebelum ini ramai meramalkan bahawa PRU13 akan diadakan Jun atau awal Julai lalu sebelum bermulanya bulan Ramadan.
Bagaimanapun spekulasi terbaru selepas 1 Syawal menunjukkan ramai meramalkan PRU13 akan diadakan November ini selepas pembentangan Bajet 2013 pada 28 September ini.
Pun begitu ada yang menjangkakan ia hanya akan dipanggil selepas Februari depan.
Najib selaku Perdana Menteri mempunyai budi bicara untuk membubarkan Parlimen dengan memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Di Stadium Nasional juga, pada 11 Mei lalu, Najib menyampaikan ucapan dengan berseloroh bahawa "rasa-rasa esok saya hendak menghadap Yang di-Pertuan Agong (untuk mendapatkan perkenan)... adakah kita sudah bersedia, sudah bersedia, sudah bersedia?"
Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden Umno berkata, perjuangan memartabatkan Islam di negara ini yang diperjuangkan parti itu adalah di landasan yang tepat dan mendapat pujian daripada pemimpin negara-negara Islam lain.
Perdana Menteri berkata, ia tidak seperti Islam yang diperjuangkan
pembangkang terutama Pas yang menggunakan Islam terutama hukum hudud semata-mata untuk berkempen semasa musim pilihan raya.
"Mesir kata Malaysia telah menjadi model negara Islam. Percayalah kita di landasan yang betul. Kita janji apa? Kita janji negara maju 2020, Janji Ditepati.
"Ambo (saya) ingin melihat angin perubahan di Kelantan. Islam sebagai satu model. Kita juga bawa perjuangan Islam, kita tidak mahu Islam yang mana hudud dijual sebagai model pilihan raya.
"Haji Hadi (Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang) kata apa, fajar
menyingsing, ayam berkokok kita akan laksanakan hudud. Ayam itu pun dah mati dan tua," katanya pada Majlis Jom Beraya Bersama Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Hamzah di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Kira-kira 30,000 rakyat berbilang kaum hadir pada majlis itu yang merupakan lawatan pertama Najib ke Machang.
Beliau turut memuji langkah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tidak menyokong langkah pihak tertentu baru-baru ini yang bertindak biadab ketika mengadakan satu perhimpunan yang disokong pembangkang di ibu negara baru-baru ini.
"Ambo ucap terima kasih dan menulis surat pada Nik Aziz atas perkara itu," katanya.
Najib berkata ia jelas menunjukkan Nik Aziz juga tidak menyokong langkah yang keterlaluan seperti sanggup memijak poster, menunjuk punggung dan membawa bendera baharu bagi menggantikan Jalur Gemilang seperti itu.
Mengulas mengenai Kelantan, Najib berkata segala kemahuan rakyat negeri ini akan dimasukkan dalam manifesto dan akan memperjuang perkara itu apabila Barisan Nasional menang pada pilihan raya umum nanti.
"Kita masukkan apa sahaja yang rakyat Kelantan mahukan dan kita akan pastikan perkara itu satu janji yang ditepati apabila BN memerintah nanti," katanya.
Perdana Menteri juga kagum dengan semangat rakyat beberapa negeri terhadap sambutan program Umno dan BN yang menunjukkan rakyat memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap BN.
0 orang berkata:
Post a Comment