Kecewa tweet Ngeh, Pemuda Umno desak Pas keluar Pakatan
Sebahagian daripada peserta yang menyertai himpunan aman di Masjid Kampung Baru. - Foto Sinar Harian oleh Safwan Mansor
 
KUALA LUMPUR - Pemuda Umno mendesak Pas keluar dari gabungan pembangkang, Pakatan Rakyat (PR) berikutan tindakan salah satu parti dalam perikatan tersebut yang disifatkan menghina agama Islam.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, Pas gagal mendapat sokongan daripada sekutunya walaupun hanya dalam perkara asas iaitu agama.


"Saya amat amat kesal. Di mana pada satu keadaan agama kita dikecam, Nabi Muhammad dihina tetapi mereka (Pas) tidak mendapat sokongan daripada parti yang katanya rakan seperjuangan.


"Apa lagi nak tunggu? Bagi saya, itu adalah isyarat yang cukup jelas bahawa mereka (Pas) perlu tinggalkan parti pembangkang," tegas Khairy yang ditemui pemberita selepas selesai mengetuai perhimpunan aman yang mengecam filem dan karikatur yang menghina Islam di Kampung Baru, petang ini.


Menurutnya, jika perkara asas seperti agama ini parti DAP tidak menunjukkan rasa saling menghormati,sudah tiba masa bagi Pas untuk keluar dari PR.

 
"Ini perkara asas, bukan soal hudud atau soal yang sukar. Jadi, kalau DAP tidak dapat memahami atau menghormati tujuan kita berhimpun, saya rasa inilah masanya Pas keluar dari PR," katanya.

Tambahnya, "kita nak berhimpun bukan untuk ganggu orang, juga bukan untuk bertindak ganas."


"Ia untuk nyatakan bantahan terhadap penghinaan agama kita. Tetapi nampaknya DAP tak faham," katanya.

 
Sebelum ini, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham menggemparkan negara dengan kenyataan yang dikeluarkan di laman Twitter miliknya yang dikatakan tidak menghormati agama Islam.

Paparan yang dibuat pada 17 September jam 1.43 tengah hari itu telah mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin parti Barisan Nasional (BN) dan pembangkang terutama Pas yang menyifatkan Koo Ham tidak sensitif terhadap perasaan orang Islam.

Di Ipoh sendiri, sehingga jam 3 petang tadi, empat laporan polis dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 18 september lalu.

Semalam, Koo Ham meminta maaf kepada umat Islam berhubung kenyataannya itu.