Fauziah Muhamad, Abil Fikri Ahmad
Fauziah Muhamad, Abil Fikri Ahmad
SHAH ALAM – Pesakit saraf otak, Fauziah Muhamad, 38 terus menerima kunjungan orang ramai yang bersimpati atas penderitaannya termasuk selepas kisahnya dibawa oleh Sinar Harian Online.

Menurut suaminya, Abil Fikri Ahmad, rumah mereka yang terletak di Seremban dikunjungi tetamu baik jauh mahupun dekat semata-mata untuk melawat Fauziah yang terlantar di katil.


“Alhamdulillah, kami tidak putus-putus menerima kunjungan tetamu. Kebanyakannya yang datang dengan keluarga mereka.


“Tetapi ada juga pasangan yang merancang untuk berkahwin datang meminta nasihat selain menziarah Fauziah. Malam tadi saja, tetamu datang sehingga jam 12 tengah malam,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi hari ini.


Menyingkap kembali kunjungan beberapa bulan lalu, katanya, orang lain mungkin hanya datang melawat sekali dua sahaja, namun keprihatinan yang dipamerkan isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin yang datang menziarah pada April lalu wajar dipuji.


“April lalu Datin Seri datang bersama Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (Pekerti) dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO).


“Ia tidak terhenti di situ saja. Datin Seri sering bertanya khabar paling kurang sebulan sekali. Saya sangat terharu dengan keprihatinan beliau,” katanya.


Seorang insan prihatin yang menziarahi Fauziah semalam sempat berkongsi cerita dengan rakan-rakan di laman sosial  Facebook miliknya.


Lien Latif dari Kajang yang bertolak ke Seremban bersama ibunya menceritakan serba sedikit perasaannya ketika melawat pasangan itu.


“Alhamdulillah, tercapai hajat di hati nak melawat Kak Gee (Fauziah) dan tengok sendiri kesanggupan suami mithali, Abil menjaga isteri yang terlantar sejak tahun lepas,” ceritanya di laman sosial Facebook miliknya  malam tadi.


Lien menceritakan bagaimana dia dan ibunya tidak dapat mengawal air mata apabila menyaksikan sendiri keadaan Fauziah dan Abil sedangkan sebelum ini kisah mereka hanya diketahui melalui blog Abil.


“Macam mana laju air mata membaca blog Abil, tengok depan mata lagilah... saya dan mama tidak boleh tahan tangisan di situ.


“Tengok tindak balas Kak Geeyang manja dengan suaminya,” katanya yang mengagumi keteguhan cinta Abil kepada Fauziah.


Lien sempat mendoakan pasangan suami isteri itu, “semoga ALLAH memudahkan segala urusan mereka suami isteri dan berikan yang terbaik untuk pasangan ini.”


Seorang lagi pembaca blog Abil, Uchee Fukada yang masih belum berkesempatan menziarahi Fauziah turut memberi respons terhadap kunjungan tersebut.


“Kau pergi rumah mereka Lien? Aku baca blog Abang Abil saja sudah menangis macam apa, kalau tengok depan-depan takut meraung di situ juga,” kata Uchee.


Lien menjawab, “aku pergi semalam Uchee. Abil OK 'steady'. Tak tahan 'time' Kak Gee seolah-olah memanggil Abil, Kak Gee tak dengar dan tak nampak tapi jika Abil sentuh dia, dia macam faham. Abil 'kiss' dia, dia akan toleh kiri kanan kiri seolah-olah nak Abil 'kiss' pipi dia. Syahdu sangat!”