SU Agung Pas: MB Kedah 'lebih hebat daripada jangkaan'
SHAH ALAM - "Saya terkejut daripada apa yang saya jangka.” Demikian reaksi Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali ketika mengulas keadaan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, yang kembali meneruskan tugasnya semalam, berbanding ketika beliau melawatnya di hospital akhir bulan lalu.
Mustafa berkata, Azizan kelihatan “lebih hebat daripada jangkaan dan masalah kesihatan yang digembar-gemburkan, dia mesyuarat di bilik mesyuarat seperti biasa.”
Menurutnya lagi, walaupun doktor menasihatkan agar Azizan mengurangkan aktiviti, namun itu tidak membataskan pergerakkannya dan ia terbukti apabila menyuarat Exco Kerajaan Negeri Kedah semalam berjalan seperti biasa.
Mustafa menambah, hal itu membuatkan Pas Pusat buat masa sekarang tidak mengatur perancangan untuk menggantikan kedudukan Azizan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Sebelum ini, Azizan dikatakan mengalami sakit teruk. Bagaimanapun ia dinafikan oleh isterinya, Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah dan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang menegaskan beliau hanya dinasihat oleh doktor supaya berehat ekoran demam dan alahan.
Semalam, Azizan berkata, beliau tegas mengatakan masih mampu mengemudi Kerajaan Negeri Kedah, namun segala keputusan diserahkan kepada Pas Pusat.
Ketika ditemui di Wisma Darulaman, Azizan yang ceria sempat berseloroh dengan jurugambar dan wartawan.
“Tengoklah sendiri, saya sihatkan,” katanya, sambil ketawa. Azizan yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah sempat bergurau dengan wartawan, mengatakan keadaan beliau semakin baik malah dirinya semakin kacak sejak kembali sihat. “Makin kacak tak,” katanya, sambil mengenyitkan mata.
Mengulas lanjut, Mustafa berkata, Pas menyerahkan perjalanan dan urusan Kerajaan Negeri Kedah seperti biasa kepada Azizan.
“Kita tak masuk campur urusan kerajaan negeri itu, kita masih biarkan Azizan menjalankan kerjanya sebagi menteri besar seperti biasa.
“Pas juga yakin beliau dapat lakukan tugasnya seperti biasa," katanya lagi.
0 orang berkata:
Post a Comment