SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Abd Aziz digesa untuk mengisytiharkan harta mereka kepada rakyat dengan kadar segera.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu dapat menjadi contoh kepada pegawai-pegawai organisasi terlibat di samping sebagai tanda komitmen kepada prinsip ketelusan dan urus tadbir yang baik.

“Sebagai tanda komitmen kepada prinsip ketelusan dan urus tadbir yang baik di Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya menggesa mereka untuk mengisytiharkan harta masing-masing kepada rakyat di negara ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sebelum ini, Tengku Adnan memaklumkan bahawa setiap jabatan di bawah kementeriannya telah diarahkan untuk meneliti semula pengisytiharan harta pegawai bagi membendung gejala rasuah.

Fahmi berkata, pihaknya menyambut baik tindakan Tengku Adnan tersebut dan proses penelitian semula itu perlu dibuat dari masa ke semasa.

“Pihak seperti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) pernah membangkitkan keperluan mengkaji semula sistem pengisytiharan harta bukan sahaja untuk menteri malah juga pegawai kerajaan namun tidak pasti sama ada idea mereka diterima atau diamalkan oleh pihak berkenaan,”katanya.

Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pegawai tinggi DBKL bergelar ‘Datuk Seri’ selama tujuh hari bermula hari yang sama bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

Dia disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 bagi kesalahan rasuah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.