DAP akui kes rasuah Guan Eng cabaran besar
GEORGETOWN - DAP mengakui pendakwaan dua kes rasuah Setiausaha
Agungnya, Lim Guan Eng adalah cabaran besar bagi parti demokratik itu.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, walaupun kes itu
sudah dibawa ke mahkamah, parti akan terus berjuang dalam memastikan
parti tidak terjejas dengan dakwaan kes Guan Eng yang juga Ketua Menteri
itu.
Menurutnya, selain menghadapi kes itu, parti turut memberi tumpuan
terhadap kerja politik dan meneruskan perjuangan parti yang bermula
sejak 50 tahun lalu.
"Di peringkat negeri, penahanan dan pendakwaan Guan Eng kerana rasuah
adalah satu cabaran besar terhadap parti dan kerajaan negeri. Namun, ia
tidak mematahkan semangat DAP untuk terus berjuang yang bermula sejak 50
tahun lalu.
"Dalam menghadapi situasi yang tidak menentu, DAP Pulau Pinang tetap
yakin dalam kerja-kerja politik dan mengalu-alukan mandat baharu
daripada rakyat dalam pilihan raya umum akan datang," katanya ketika
berucap di Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang 2016 di sini, hari ini.
Dalam konvensyen itu, seramai 328 daripada 1,027 delegasi hadir dengan 80 daripada mereka adalah ahli veteran DAP Pulau Pinang.
Antara pemimpin tertinggi DAP yang hadir adalah Penasihat DAP, Lim Kit
Siang, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik, Ahli Parlimen Bukit Bendera,
Zairil Khir Johari, barisan Exco Kerajaan Pulau Pinang, Timbalan
Pengerusi Amanah Pulau Pinang, Mohd Taufek Abd Rahman dan Timbalan Ketua
Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon.
Kon Yeow turut mengakui tahun ini adalah tahun paling mencabar untuk DAP dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
"Parti juga menggerakkan jentera untuk melancarkan kempen “Simpati,
Solidariti dan Sokongan kepada Guan Eng” apabila beliau ditahan dan
didakwa di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 Jun lalu. Parti
merakamkan penghargaan kepada ahli-ahli, penyokong dan mereka yang
mengambil berat dengan isu ini.
"Kita menghargai mandat dan aspirasi rakyat untuk menggerakkan parti ke
hadapan dan mencapai kejayaan lebih besar dalam misi politik kita. Pada
masa ini, Pakatan Harapan masih cuba untuk bertindak bersama ketika
berhadapan senario politik yang pantas berubah," katanya.
Menurutnya, pembentukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia oleh mantan
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan
Sri Muhyuddin Yassin telah meningkatkan ketegangan politik dalam
kalangan masyarakat Melayu.
"Negara ini juga dicengkam keresahan akibat ketidaktentuan sikap Pas
dalam keadaan politik semasa. Mereka juga dilihat bergerak seiring
dengan Umno dalam agenda Islam.
"Ketegaran mereka dalam mendesak pelaksanaan undang-undang Hudud di
Parlimen telah menimbulkan banyak ketegangan dalam kalangan parti-parti
politik sama ada dari BN atau barisan pembangkang," katanya.
Kon Yeow berkata, sebagai parti utama dalam Kerajaan Pulau Pinang, DAP
perlu bekerja keras dalam menunjukkan kepimpinan politik dalam memimpin
negeri ke hadapan walaupun berdepan dengan sumber dan bantuan daripada
Kerajaan Persekutuan yang terbatas.
"Parti perlu kuat dalam menghadapi cabaran politik dari parti komponen
BN dan organisasi masyarakat awam yang semakin lantang menyerang
prestasi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan agensi-agensi
kerajaan yang lain.
"Sehubungan itu, parti kini bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya
umum akan datang dengan membentuk sebuah jawatankuasa kempen pilihan
raya yang diketuai Setiausaha DAP Pulau Pinang, Lim Hui Ying," katanya.
2 orang berkata:
Masuk pas boleh belajar kapirkan orang? Boleh belajar tanam org di jirat cina?
Kalu nak rasa kena kencing, masuk pas. Kalau tak nak kena kencing masuk amanah. Kalu nak belajar mengencing masuk amnoo.
Post a Comment