SHAH ALAM - Pemuda Amanah Johor sarankan pihak ketiga adakan debat bagi menyelesaikan konflik antara Pas dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketuanya, Taqiuddin Che Man berkata pihak ketiga wajar contohnya akhbar Sinar Harian adakan debat tersebut kerana ia akan mendatangkan kesan baik kepada dua-dua pihak.

“Ia akan datangkan kesan positif kepada kedua-dua pihak dapat berdebat dan menjelaskan keadaan sebenar kepada umum seperti cadangan awal.

“Saya juga mengharapkan agar lanjutan isu ini tidak akan mengeruhkan serta memecah- belahkan kedua belah pihak antara Pas dan Amanah,” katanya dalam satu kenyataan media.

Semalam, Penasihat Amanah, Datuk Husam Musa muncul ke ceramah ‘Husam lari dari Debat Baiah’ yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.

Kehadiran beliau itu turut mengundang reaksi kurang senang terutamanya di kedua belah pihak antara Pas dan Amanah serta turut menimbulkan kekecohan di tempat ceramah berlangsung.  

[ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh: Husam 'serang' ceramah Pas]

Sementara itu, Editor Tugas-Tugas Khas Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir berkata, akhbar ini bersedia dengan cadangan tersebut dan wakil Sinar Harian Kelantan juga telah mengadakan pertemuan dengan kedua-dua pihak bagi membincangkan penganjuran debat ini.

“Pihak Sinar sehingga kini masih menunggu satu tarikh yang dapat dipersetujui kedua-dua pihak untuk hadir ke program debat berkenaan.

“Sinar Harian Kelantan juga telah mengadakan rundingan awal dengan kedua-dua pihak untuk menetapkan tarikh bagi melaksanakan debat itu,” katanya lagi.