KUALA TERENGGANU – Kecaman dan tohmahan Amanah terhadap Pas disifatkan bertujuan mengalih perhatian rakyat daripada Pas dan mengukuhkan keyakinan pengundi terhadap Pakatan Harapan.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani berkata, perkembangan itu jelas ditunjukkan melalui sikap pemimpin-pemimpin Amanah yang seringkali memainkan isu-isu memburukkan dan menonjolkan kelemahan Pas kepada khalayak.

“Mereka mengutuk Pas kerana mahu perkukuhkan Pakatan Harapan. Mereka kata hendak lawan Umno tetapi mereka tuduh Pas bersama Umno. Kita nampak serangan lebih kepada Pas dan naib presiden (Amanah) pun kata hendak ambil Kelantan daripada Pas.


“Ini menunjukkan bahawa mereka bukan melawan Umno tetapi lebih menyerang Pas, tidak serang BN,” katanya.

Beliau berkata, isu Rang Undang-Undang Akta 355 juga turut menunjukkan bahawa pendirian Amanah tidak mahu bersama-sama demi kepentingan Islam sebaliknya Umno sebagai parti lawan pula memberi sokongan terhadap Himpunan 355 (H355) di ibu negara, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Azman Shapawi yang juga Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun turut menafikan bahawa Pas gagal dalam memperkasa tarbiyyah dalam kalangan ahli-ahli sehingga memperlihatkan perpecahan melalui penubuhan parti serpihan itu.

Katanya, Pas menitikberatkan aspek itu bagi memastikan setiap anggota memahami perjuangan dan bersama-sama jemaah dalam apa jua perkara bagi memastikan parti itu terus kukuh.

Bagaimanapun katanya, dengan tindakan ahli Pas keluar parti dan menubuhkan serta menyertai parti baharu, ia berpunca dari beberapa faktor.

“Mereka yang lari dari Pas ada beberapa peringkat iaitu bawahan, pertengahan dan tertinggi sehingga bekas timbalan presiden Pas sendiri (keluar Pas). Alasan bagi yang tiada tarbiyyah mungkin ada sebahagian masuk Pas tapi tidak bersedia dengan program tarbiyyah menyebabkan mereka ikut cara sendiri seterusnya mengambil sikap lari parti.

“Ada juga pihak tertinggi yang cukup tarbiyyah, bertahun-tahun bersama-sama Pas, ada yang masuk lokap dan tetapi kemungkinan hati kecil tidak yakin Pas menang kerana sudah lama berjuang menyebabkan mereka sudah bosan sehinggalah dapat tawaran lebih baik untuk menang,” katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan tindakan Amanah bukanlah satu ancaman kepada Pas berikutan parti itu sentiasa menerima keahlian baharu setiap bulan dengan melebihi 1,000 ahli di seluruh negara.