‘Bukan Datuk sahaja tak dapat berucap’
SHAH ALAM – Penganjur Sidang Kemuncak TPPA 2016 menegur Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Wahid Omar dan mengingatkan bahawa
bukan beliau seorang sahaja yang tidak dapat berucap pada majlis
tersebut.
Pengerusinya, Mohd Nizam Mahshar melahirkan rasa terkilan terhadap
kenyataan Abdul Wahid seperti yang tersebar di portal berita
prokerajaan, MyKMU, hari ini menjelaskan, menteri itu hanya membuat
permohonan untuk berucap selepas sesi ‘Sidang Panel’ berakhir.
Ekoran kesuntukan masa, Mohd Nizam yang juga Ketua Pegawai Eksekutif
Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) memaklumkan bahawa, ramai lagi
pihak yang tidak dapat menyatakan pandangan termasuk dari parti Pas dan
Amanah.
“Beberapa wakil pemimpin masyarakat seperti kumpulan alam sekitar,
parti Pas, Amanah, kumpulan pelajar, kumpulan pekerja juga tidak
berkesempatan untuk menyatakan pandangan bukan sahaja Dato Seri (Abdul
Wahid),” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Online, hari ini.
Dalam artikel bertajuk ‘Menteri Wahid Omar Dihalang Beri Pandangan Oleh
Kumpulan Bantah TPP’ itu, Abdul Wahid yang dinyatakan sebagai penulis
artikel berkenaan mendakwa telah meminta kebenaran kepada penganjur
untuk berucap serta memberi sedikit pencerahan setelah panel selesai
berhujah.
Tambahan pula, menurut Mohd Nizam, melalui mesej peribadi Abdul Wahid
kepadanya pada malam sebelum program adalah kedatangannya semata-mata
untuk mendengar.
“Jika beliau maklumkan dari awal beliau ingin bercakap kita boleh menyediakan slot bersama empat panel dalam forum tersebut.
“Penganjur juga tidak dapat memberi ruang kepada lebih 50 persoalan
yang diajukan oleh peserta dimana hanya 5 soalan dapat dijawab
memandangkan masa yang terbatas,” katanya.
Jelasnya, menteri dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
telah diberi peluang luas untuk mengulas berkaitan TPP selama ini dan
Sidang Kemuncak TPPA 2016 yang berlangsung Sabtu lalu itu diharap
menjadi medan untuk menteri mendengar pandangan rakyat.
“Malangnya Abdul Wahid telah pulang awal dan tidak sempat mendengar
keseluruhan pandangan termasuk antara lain pandangan wakil nelayan dan
petani, profesional dan wakil gabungan ketua cawangan UmnoGKCM.
“Malahan ketika wakil Perkasa dan PKR memberi pandangan, beliau yg
duduk disebelah memberi respons ‘mana boleh!’ tanpa meneliti secara
mendalam pandangan tersebut.
“Kita telah memberi jawapan secara beradab di dalam majlis tersebut
kepada menteri untuk mendengar wakil-wakil dari masyarakat memberi
pandangan dan memberi cadangan kepada beliau untuk beliau mengadakan
satu sesi khas yang dianjurkan oleh beliau atau EPU dan kami sudi
membawa wakil daripada 250 NGO ini untuk mendengar dari kedua belah
pihak,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap Abdul Wahid akan lebih berjiwa besar serta
tidak salah sekiranya seorang menteri duduk mendengar keseluruhan
pandangan rakyat di saat rakyat sangat memerlukan suara mereka
didengari.
0 orang berkata:
Post a Comment