Laporan Audit Ketua Audit Negara 2011 dikeluarkan seminggu selepas pembentangan belanjawan
24 September 2012
KUALA LUMPUR - Laporan Audit Ketua Audit Negara 2011 akan dikeluarkan
seminggu selepas pembentangan Belanjawan 2013, kata Menteri di Jabatan
Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
"Ini bagi membolehkan ruang perbahasan yang lebih panjang diadakan
supaya pembentangan laporan audit tidak mencuri tumpuan belanjawan.
"Laporan sudah siap. Ia sedia untuk dikeluarkan dan setiap bahagian
laporan ada penjelasan terperinci," katanya kepada pemberita di Lobi
Parlimen hari ini.
Nazri berkata langkah itu juga bagi memberi peluang kepada
anggota-anggota Dewan membincangkan dan memberikan lebih fokus tentang
kedua-dua perkara ini (pembentangan belanjawan dan laporan audit.)
"Jadi tidak akan campur-adukkan antara pembentangan belanjawan dengan laporan audit," katanya.
Beliau berkata tahun lepas laporan audit juga dikeluarkan selepas pembentangan Belanjawan 2012.
Belanjawan 2013 dijadual dibentangkan pada 28 Sept ini. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment