Benarkah Muhyiddin pilihan Mahathir?
KETIKA tulisan ini disiarkan, tidak pasti sama ada Tun
Dr. Mahathir masih di IJN ataupun sudah pulang. Apa yang hampir pasti
ialah dia akan dapat kenderaan baharu untuk menggerakkan kempen
menumbang Najib – Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau nama pendeknya,
Bersatu.
Saya yakin, meskipun dilantik pengerusi parti itu, Dr. Mahathir tidak
akan bertanding pada PRU14, jauh sekali untuk kembali ke Sri Perdana.
Apa yang jadi matlamatnya adalah menggantikan PM Najib dengan pemimpin
lain. Najib pada pandangannya sudah melakukan banyak kerosakan dan tidak
boleh dibiarkan.
Ketika memilih Pak Lah untuk menggantikannya, Dr. Mahathir sebenarnya
lebih berminat kepada Najib. Pada masa itu, hubungan Najib – Pak Lah
tidak begitu jernih dan dikatakan, Dr. Mahathir terpaksa mendapatkan
jaminan Pak Lah untuk memastikan Najib dilantik sebagai Timbalan Perdana
Menteri apabila dia (Pak Lah) dinamakan sebagai Perdana Menteri.
Tujuannya adalah supaya selepas Pak Lah, Najib yang akan naik.
Mahathir bukan jenis lupa jasa orang kepadanya. Ada cerita, Tun Razak
berpesan kepada birasnya, Tun Hussein Onn supaya melantik Dr. Mahathir
jadi timbalannya setelah dia (Hussein) dilantik Perdana Menteri. Jika
cerita ini benar, ia adalah sama dengan apa yang dilakukan oleh Dr.
Mahathir.
Hussein memang tidak menggemari Mahathir sejak awal. Dia yang jadi
Perdana Menteri selepas kematian mengejut Tun Razak di London akibat
kanser pada 1976, lebih mahukan Tun Ghazali Shafie yang dianggap antara
orang Melayu paling pintar dan berpengetahuan (hingga dilantik
menganggotai Suruhanjaya Reid yang menggubal Perlembagaan Persekutuan)
untuk jadi timbalannya.
Bagaimanapun Ghazali bukan Naib Presiden Umno. Mengikut tradisi dan
berdasarkan senioriti, Hussein seharusnya melantik seorang daripada tiga
naib presiden iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Ghafar Baba atau Dr.
Mahathir sebagai timbalannya.
Kata dua
Tengku Razaleigh adalah Naib Presiden Umno yang paling popular ketika
itu. Dia mendapat undi tertinggi dalam pemilihan parti, diikuti Ghafar
dan Dr. Mahathir.
Bagaimanapun menurut Sanusi Junid, Hussein tidak berkenan untuk
melantik Ku Li barang kali disebabkan status bujangnya ketika itu
manakala Ghafar pula kerana Ghafar menyokong Tunku Abdul Rahman ketika
krisisnya dengan bapa Hussein, Onn Jaafar pada 1951.
Berikutan ura-ura Hussein mahu melantik Ghazali sebagai timbalannya,
ketiga-tiga naib presiden itu menemuinya dan memberi kata dua: “Lantik
salah seorang daripada kami ataupun kami bertiga akan boikot Kabinet!”
Lantaran itu, Hussein akhirnya memilih Dr. Mahathir meskipun Dr.
Mahathir ketika itu adalah naib presiden yang ketiga dari segi kedudukan
dalam parti yang berasaskan pungutan undi. Yang membantu Hussein
membuat keputusan itu ialah Abdul Kadir Yusuf, Menteri Pembangunan Tanah
dan Pembangunan Wilayah. Abdul Kadir sahabat karib Hussein sejak
sama-sama menuntut di London.
Perihal keruhnya hubungan Hussein – Dr. Mahathir berlarutan hinggalah Dr. Mahathir dilantik Timbalan Perdana Menteri.
Tokoh wartawan, A.R. Kamaludin yang juga anggota Exco Pemuda Umno
ketika era Suhaimi Kamaruddin pernah menceritakan hal keluhan Dr.
Mahathir mengenai hubungannya dengan Hussein.
Menurut Kamaludin, ketika dia bersama beberapa anggota Exco Pemuda Umno
menunggu giliran untuk menghadap Perdana Menteri di pejabatnya, mereka
terserempak dengan Dr. Mahathir yang ketika itu adalah Timbalan Perdana
Menteri. Dia menyapa mereka.
Apabila diberitahu tujuan mereka adalah mahu menghadap Perdana Menteri,
Dr. Mahathir berkata: “Lagi untung jadi Exco Pemuda daripada Timbalan
Perdana Menteri. Saya dah dua minggu buat appointment nak jumpa PM, tak
dapat-dapat lagi.”
Pada penghujung pentadbirannya, Hussein dikatakan memanggil Tengku
Razaleigh. Hussein beritahu Ku Li dia mahu letak jawatan dan Ku Li
dipilih untuk menggantikannya.
Memanglah tiada peruntukan dalam Perlembagaan hanya Timbalan Perdana
Menteri yang boleh menggantikan jika Perdana Menteri meletak jawatan
namun secara tradisi, seharusnyalah begitu. Dr.
Mahathir adalah Timbalan
Perdana Menteri, Timbalan Presiden Umno, juga Timbalan Pengerusi BN.
Ku Li bagaimanapun dikatakan menolak tawaran itu, Dia yakin masa
untuknya (jadi Perdana Menteri) akan tiba jua memandangkan usianya yang
jauh muda berbanding Dr. Mahathir.
Apabila Ku Li menolak, Hussein memanggil pertemuan enam mata – Hussein,
Dr. Mahathir dan Ku Li – untuk membincangkan perkara itu. Dia mahukan
jaminan daripada Dr. Mahathir untuk melantik Ku Li sebagai timbalannya
apabila dia dinamakan sebagai bakal Perdana Menteri.
Benar atau tidak kenyataan ini tidak dapat dipastikan namun apa yang
berlaku kemudiannya bukanlah begitu. Apabila Dr. Mahathir jadi Perdana
Menteri, Tun Musa Hitam dipilih sebagai gandingannya.
Retak
Kemudian daripada itu, berlaku keretakan dalam hubungan Ku Li dengan
Musa, dan kemudian Ku Li dengan Mahathir dan Musa. Bagaimanapun selepas
Musa meletak jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1986, dia bergabung
dengan Ku Li pula untuk menentang gandingan Mahathir - Ghafar yang
menggantikan tempatnya.
Kemuncaknya, pada pemilihan 1987, kedua-dua regu itu bertembung yang
menyaksikan kekalahan tipis Ku Li di tangan Dr. Mahathir dalam perebutan
kerusi Presiden Umno manakala Musa tumpas kepada Ghafar bagi kerusi
Timbalan Presiden.
Bagaimanapun dalam pemilihan pada 1993, Ghafar membuat keputusan
menarik diri daripada mempertahankan jawatan apabila pencalonan untuk
Anwar Ibrahim jauh mengatasi pencalonan untuk dirinya.
Sejak itu, Ghafar dikatakan menyimpan rasa terkilan terhadap Dr.
Mahathir yang dikatakan terang-terangan menyokong Anwar. Hal rasa
terkilannya itu disampaikan kepada beberapa rakannya.
Daripada empat individu yang pernah jadi timbalan Dr. Mahathir, hanya
Pak Lah yang lepas naik ke kerusi Perdana Menteri. Itu pun, selepas
beberapa tahun memegang jawatan, Pak Lah turut hadapi tekanan daripada
Dr. Mahathir kerana dianggap tidak berkeupayaan untuk terus memikul
tanggungjawab memimpin negara.
Sebagaimana sekarang, yang seiring dan sejalan dengan Dr. Mahathir
adalah Muhyiddin Yassin. Najib – yang diangkat menggantikan Pak Lah –
meskipun awalnya dilihat sebagai pilihan Dr. Mahathir, kini didesak oleh
dia sendiri untuk melepaskan jawatan!
Rekod politiknya mencatatkan; Mahathir berperanan dalam mendesak Tunku
Abdul Rahman meletak jawatan. Ketika Hussein Onn, pun dia dikatakan
ada peranan juga meskipun tidak begitu terbuka. Perdana Menteri yang
tidak disentuh langsung oleh Dr. Mahathir hanyalah Tun Razak.
Apa yang berlaku selepas Dr. Mahathir melepaskan jawatan Perdana
Menteri yang disandangnya selama 22 tahun, dia digantikan oleh pemimpin
yang bermasalah. Kaliber dan karismatik Pak Lah, juga Najib jauh rendah
berbanding kesemua Perdana Menteri yang terdahulu, termasuk dirinya
sendiri.
Di mana silapnya, dan apa punca yang menyebabkan hal ini berlaku? Ada
pihak menyifatkan puncanya adalah Dr. Mahathir sendiri. Dia dianggap
tidak berusaha melahirkan pelapis yang berkelayakan untuk mengambil alih
kemudi negara selepasnya.
Kalaupun ada, mungkin Anwar tetapi Anwar sendiri telah melakukan
kesilapan besar tatkala laluan sudah dibentang luas untuknya. Itulah
satu-satunya anak didik yang dibenihkan oleh Dr. Mahathir meskipun
kesudahannya tidak berakhir seperti apa yang diharapkan!
Tun Razak telah mendidik Ku Li dan Musa untuk menyambung legasinya
selepas giliran Dr. Mahathir, namun tempoh pemerintahan Dr. Mahathir
yang begitu lama telah 'mengorbankan' mereka.
Saya teringat kata-kata seorang bekas menteri dalam Kabinet Dr.
Mahathir ketika kami bertemu di rumahnya beberapa tahun lalu: "Lama
memerintah itu bagus, tetapi terlalu lama, tidak bagus!"
Dia merujuk pada tempoh pemerintahan Dr. Mahathir yang menurutnya telah
membawa nasib yang kurang baik kepada negara apabila tokoh seperti Ku
Li terpaksa dikorbankan.
"Ku Li antara ahli politik terbaik pernah dilahirkan di negara kita.
Saya tidak kata pemerintahan Dr. Mahathir tidak bagus. Dia meninggalkan
legasi yang begitu besar namun tempoh pemerintahannya yang terlalu lama
telah menyebabkan ada lompang dari segi pelapis dalam kepimpinan negara
untuk menyambung apa yang telah dibawanya," katanya.
Jika umurnya panjang, dan jika pembangkang menang PRU14, apakah
Muhyiddin akan jadi satu-satunya Perdana Menteri selepasnya yang dapat
diterima oleh Dr. Mahathir?
0 orang berkata:
Post a Comment