BEIJING - CHINA. Malaysia dan China menandatangani 14 Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan pertahanan, ekonomi, pertanian, pendidikan, kewangan dan sektor pembinaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya, Li Keqiang menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu selepas mempengerusikan bersama mesyuarat dua hala antara Malaysia dan China di Great Hall of the People di sini Selasa.

Mesyuarat dua hala itu turut disertai Perutusan Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Kiong.

Hadir sama ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahadzir Khalid; Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron serta pegawai tinggi kerajaan.

Hishammuddin menandatangani MoU berkaitan pembaharuan Kerjasama Pertahanan Dua Hala bersama Menteri Pertahanan China Jeneral Chang Wanquan, manakala Ahmad Shabery pula menandatangani MoU mengenai Kerjasama Pertanian bersama Menteri Pertanian China Zhi Suhping.

Ahmad Shabery dan Zhi turut menandatangani Protokol antara Pentadbiran Am dalam Penyeliaan Kualiti, Pemeriksaan dan Kuarantin Republik Rakyat China dan Kementerian Pertanian Malaysia berhubung Keperluan Pemeriksaan, Kuarantin dan Kebersihan Veterinar untuk Mengeksport Sarang Burung Mentah.

Antara perjanjian lain yang ditandatangani adalah pembaharuan semula MoU mengenai Kerjasama Pendidikan antara Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan rakan sejawatannya dari China, Chen Baosheng.

Ketua Setiausaha Perbendaharan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah turut menandatangani Perjanjian Rangka Kerja Kewangan antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRLSB) dengan Export-Import Bank of China (EXIM), yang diwakili Naib Presidennya, Yuan Xinyong.

Terdahulu, Najib menerima kunjungan hormat Pengerusi National People's Congress (NPC) Zhang Dejiang di Great Hall of the People sebelum diberi sambutan rasmi dalam upacara yang berlangsung di perkarangan kawasan itu.

Jalur Gemilang dan bendera negara China berkibar megah di petang yang dingin ini.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara, Negaraku dan March of the Volunteers, bergema di udara sebaik sahaja Najib serta Li menaiki pentas khas untuk menerima tabik hormat terdiri daripada anggota Chinese People's Liberation Army, dengan diiringi tembakan meriam 19 das. - Bernama