Empat resolusi digaris pembangkang, Bersatu
KUALA LUMPUR - Empat resolusi berjaya dirumuskan, hasil daripada
mesyuarat bersama di antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir
Mohamad dengan ahli parlimen pembangkang di bangunan sementara Parlimen
semalam.
Resolusi yang dibentangkan oleh Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari
Abdul dipersetujui sebulat suara oleh kesemua 30 ahli parlimen
pembangkang yang hadir.
Empat resolusi itu adalah untuk meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri
Khalid Abu Bakar mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghentikan
tindakan memanggil dan mengambil keterangan dari mana-mana ahli parlimen
yang berucap dalam Parlimen yang menyentuh isu 1Malaysia Development
Berhad (1MDB), DOJ dan wang RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan dalam
akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Resolusi kedua pula adalah meminta Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia
menghormati dan mempertahankan hak dan kebebasan Parlimen sepenuhnya
seperti yang diiktiraf dalam doktrin pengasingan kuasa dan seperti yang
diamalkan di semua parlimen-parlimen ala Westminister.
Ketiga, meminta YDP Dewan Rakyat mengkaji semula petua yang beliau keluarkan pada 31 Mac dan 20 Oktober 2016.
Bersandarkan kepada petua yang beliau keluarkan ini Ahli Parlimen tidak
dibenarkan berbahas atas isu yang menyentuh 1MDB, DOJ dan wang RM2.6
bilion dan menteri-menteri juga tersekat dan terbatas dalam memberi
jawapan kepada soalan-soalan berhubung dengan perkara tersebut.
Resolusi terakhir adalah mereka meminta semua pihak mengiktiraf dan
kembalikan hak ahli parlimen sebagai wakil rakyat untuk berbahas dan
menyuarakan masalahan rakyat dalam Dewan Rakyat dan jangan ada mana-mana
pihak menyekat kebebasan ini agar rakyat dan negara mendapat faedah
dari kegiatan ini dan kedudukan Parlimen Malaysia dipandang tinggi oleh
masyarakat antarabangsa.
Difahamkan, Mahathir berada di Parlimen bagi menyertai perbincangan
bersama ahli-ahli parlimen pembangkang mengenai rasa tidak puas hati
mereka terhadap Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang
dianggap memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan
ahli-ahli parlimen Barisan Nasional (BN).
Turut hadir dalam mesyuarat itu adalah Presiden Parti Pribumi Malaysia
(Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk
Seri Shafie Apdal; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Ismail dan
Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
0 orang berkata:
Post a Comment