02 Februari, 2014
Bekas Menteri Dedah Pekung Umno
Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah
(gambar) mengakui Umno-Barisan Nasional lebih awal melakukan pembazirkan
dalam pilihan raya kecil (PRK) sekaligus menolak dakwaan parti itu yang
menuduh Pakatan Rakyat (PR) hanya membuang duit rakyat bagi mengadakan
PRK Kajang.
Katanya ini adalah ketika PRK di kawasan Parlimen Kuala Selangor dan DUN
Permatang pada tahun 1997 apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan
Hal Ehwal Pengguna ketika itu, Datuk Abu Hassan Omar meletakkan jawatan
menggantikan Tan Sri Muhhamad Taib sebagai Menteri Besar Selangor.
Abu Hassan kemudiannya meletakkan jawatan sebagai anggota Parlimen Kuala
Selangor untuk bertanding di kerusi DUN Permatang yang ketika itu
disandang Datuk Jamaluddin Adnan.
Pada PRK 29 Mei 1997 itu, BN berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi di
mana Jamaluddin menerajui kawasan Parlimen Kuala Selangor dan Abu Hassan
dilantik menjadi Menteri Besar pada 6 Jun.
“Kalau hendak dikatakan membazir, maka Umno lebih awal membazir kerana
berlaku dua (PRK) di Selangor suatu ketika dahulu iaitu Parlimen Kuala
Selangor dan DUN Permatang.“Ini bermakna bukan kali pertama ada wakil
rakyat letak jawatan bagi memberi laluan PRK diadakan,” katanya memetik
dalam portal Detik Daily.
Beliau berkata demikian dalam sebuah diskusi “Demokrasi di Malaysia”
anjuran kerajaan negeri Kelantan di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade
Centre (KTC) malam tadiSelain beliau, anggota Parlimen Shah Alam Khalid
Samad turut diundang sebagai speaker manakala Prof Madya Datuk Dr
Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator .
Beliau berkata lagi, bukan sesuatu yang pelik apabila berlaku perletakan
jawatan wakil rakyat bagi memberi laluan kepada PRK dengan memberi
contoh apa yang berlaku di Perak pada pilihan raya umum 2008.Khalid juga
mempertahankan tindakan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
memutuskan untuk bertanding dalam PRK Kajang.
Beliau menegaskan penyertaannya itu bagi memperkukuhkan parti itu dan
mendakwa Umno kini berhempas pulas merampas Selangor selepas misi mereka
pada pilihan raya umum lepas tidak menjadi kenyataan.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim dibawa untuk memperkukuhkan kedudukan Pakatan
di Selangor. Dengan kedudukan sebagai wakil rakyat, beliau boleh
berperanan dengan lebih rasmi lagi.
Sebelum ini beliau tidak boleh bertindak secara rasmi kerana tidak ada
kedudukan di peringkat DUN,” katanya.Malam semalam di hadapan kira-kira
500 penduduk tempatan Permatang Pauh, Anwar memberi penjelasan mengenai
keputusannya bertanding pada PRK Kajang.
Anwar berkata, sejak beberapa bulan negeri itu diserang beberapa isu
yang menguji kepimpinannya seperti isu Allah apabila Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais) menyerbu Persatuan Bible Selangor serta isu air di
mana pelantikannya sebagai Adun dilihat mampu menangkis ribut tersebut
yang tidak boleh dilakukan menteri besar sedia ada Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim.
Katanya, Selangor perlu menjadi negeri model PR yang mampu bertahan
dengan pelbagai propaganda dan tekanan berterusan daripada
Putrajaya.“Ada banyak program ditangguhkan atau dilengahkan.
Seperti isu air, Khalid sudah melakukan sebaik mungkin di bawah kuasanya
tetapi masih belum berjaya. Sama juga dengan beberapa perkara yang
berada di bawah kuasa persekutuan.
“Khalid sudah menunjukkan kemampuan dan keberkesanannya dalam beberapa
bidang tetapi masih ada perkara yang berada di luar keupayaannya,”
katanya.Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan sebagai Adun Kajang
Isnin lalu dan keesokan harinya Anwar diumumkan sebagai calon dalam PRK
yang masih belum diumumkan.
Pencalonan Anwar menyebabkan spekulasi tersebar luas bahawa Anwar sedang
meninjau untuk mengambil alih tugas menteri besar Selangor daripada
Khalid untuk menyelesaikan pertelingkahan antara Khalid dengan Pengerusi
PKR Selangor dan Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali. ~tmi
0 orang berkata:
Post a Comment