• Pas hantar jentera ke Kajang  
  • Alias ketika mengadakan sidang media di Pejabat Pas Kawasan Kuala Nerus. - Foto Sinar Harian
1 / 1
KUALA TERENGGANU - Badan Perhubungan Pas Terengganu bersedia menghantar jentera parti melibatkan 100 orang pada satu-satu masa bagi membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu, Dr Alias Razak berkata, pihaknya akan menyusun jentera kempen untuk ke sana selepas penamaan calon pada 11 Mac ini.


Menurutnya, Pas Terengganu ditugaskan membantu kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Sekamat.


“Kesemua 100 orang itu melibatkan Pas dan sayap parti dari Pas termasuk Muslimat, pemuda dan ulama.


“Kita akan melihat kepada perkembangan di sana dan akan menyusun semula jentera kempen berdasarkan keperluan PKR sama ada mahukan lebih ramai Muslimat, ulama, profesional dan sebagainya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Pas Kawasan Kuala Nerus, di sini.


Pilihan raya semula di Kajang bakal berlangsung 23 Mac ini berikutan tindakan Adun Kajang dari PKR, Lee Chin Cheh yang meletak jawatan secara mengejut pada 27 Januari lalu.


PKR kemudian mengumumkan calon lebih awal iaitu Ketua Pembangkang yang juga Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi tersebut.


Mengulas lanjut, Alias berkata, pimpinan Pas negeri termasuk beliau sendiri sebelum ini sudah pun ke Kajang untuk meninjau keadaan dan perkembangan di sana bagi memastikan perjalanan kempen serta bantuan yang diperlukan dapat disediakan dengan baik.


Sementara itu, Alias yang juga Adun Bukit Tunggal enggan mengulas ketika ditanya mengenai isu Anwar yang dikatakan bakal menggantikan Menteri Besar Selangor sedia ada selepas PRK Dun Kajang.


Beliau menegaskan, ia adalah soal lain dan tiada kaitan dengan pilihan raya semula yang bakal berlangsung bulan hadapan.


“Dalam soal calon kita kena bekerjasama. Dulu PKR bantu kita di Dun Kuala Besut dan Sungai  Limau, sekarang kita pula kena bantu dia di Kajang. Soal menteri besar tiada kena mengena. Kita akan bincang kemudian sekiranya isu tersebut timbul,” katanya.