•  Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman
1 / 1
KUALA LUMPUR - BN masih mempunyai harapan untuk menang sekiranya mengumumkan calon lebih awal untuk proses menarik sokongan undi kepada parti itu pada PRK Dun Kajang, 23 Mac ini.

Pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) Prof  Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata, BN masih mempunyai peluang untuk menang kerana parti itu turut mempunyai kawasan yang menjadi kubu kuat dan disokong pengundi.

Menurutnya, PR yang telah mengumumkan calon sebaik sahaja berlaku pengosongan kerusi di Dun Kajang itu belum bergerak sepenuhnya dalam menarik pengundi sekaligus memberi harapan kepada BN untuk mengalahkan parti pembangkang itu.

"Kita tengok kempen kecil-kecil calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya dimulakan di kawasan kubu kuat mereka. Mereka hanya tumpukan konsentrasi kepada kubu mereka.

"Mereka belum mula pun di kawasan kubu kuat pihak lawan, jadi kalau MCA atau Umno ingin meletakkan calon dan bertanding mereka masih ada harapan.

"Pengarah PRK PKR sebenarnya perlu meluaskan kempennya di seluruh kawasan Kajang, namun mungkin sekarang belum ada momentumnya lagi, selepas penamaan calon baru ada momentum sebenar," katanya pada satu sidang media Kaji Selidik UMcedel terhadap PRK Dun Kajang, hari ini.

Tambahnya, kelewatan BN untuk mengumumkan calon memberi kesan kepada peluang BN untuk meraih sokongan pengundi kawasan itu.

"Kita dengar BN nak umum nama calon hujung bulan ini.

"Perkara itu terlalu lambat, ia akan menjejaskan peluang BN. Kita tak tahu lagi macam mana momentum kerana sekarang Anwar masih tak ada lawan. Anwar sudah mulakan kempen," katanya.

Susulan peletakan jawatan Adun Kajang Lee Chin Cheh, PR telah memutuskan Anwar yang juga Ketua Pembangkang sebagai calon di PRK kawasan itu.

Bagaimanapun, BN masih belum mengumumkan calon untuk bertanding menyaingi Anwar walaupun MCA pada mulanya telah menyatakan mempunyai senarai calon dan sedang melakukan kajian.

Mohammad Redzuan juga mengulas, mengikut kajian yang dijalankan UMcedel  pengundi di kawasan Kajang juga menginginkan calon yang nasional daripada BN untuk menyaingi Anwar.

"Kita ada tanya apa ciri-ciri calon yang perlu BN letak kepada pengundi Kajang.

"Mereka mahukan calon diperingkat nasional, seperti Chew Mei Fun yang juga Naib Presiden MCA, ia pernah menjadi timbalan menteri," katanya.

Selain itu, Mohammad Redzuan berkata, mengikut kajian UMcedel yang dilakukan pada 14 dan 15 Februari lalu pengundi Kajang tertarik dengan isu setempat berbanding isu nasional yang di bawa oleh BN seperti isu kalimah ALLAH.