Najib bimbang akan berlaku pertembungan
TOKYO - JEPUN . Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak
melahirkan perasaan bimbang sekiranya berlaku pertembungan fizikal
antara penunjuk perasaan 'Baju Merah' dan 'Baju Kuning' semasa
menganjurkan perhimpunan Bersih 5.0 yang dirancang di Kuala Lumpur Sabtu
ini.
"Jika sebelah pihak mahu membuat bantahan dan sebelah pihak lagi mahu
melindungi kerajaan dan terpanggil untuk hadir...tetapi saya tidak mahu
sebarang pertembungan fizikal.
"Malah rusuhan ala Arab Spring yang kononnya tanda bermulanya era
perubahan, tetapi sebaliknya, ia membawa kepada kesengsaraan kepada
rakyat yang terlibat," katanya.
Rusuhan Arab Spring adalah siri protes antikerajaan, iaitu kebangkitan
rakyat dan pemberontakan bersenjata yang tersebar di Timur Tengah pada
awal tahun 2011.
Bersih, yang memilih warna kuning sebagai lambang perjuangan mereka,
adalah sebuah pergerakan yang menuntut pembaharuan sistem pilihan raya
di Malaysia, dan merancang untuk menganjurkan perhimpunan pada Sabtu ini
di Dataran Merdeka di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, satu lagi pergerakan, yang menamakan kumpulan Baju Merah,
mendakwa Bersih bertujuan menggerakkan agenda asing untuk menjatuhkan
kerajaan sedia ada dan mengugut untuk menganjurkan perhimpunan balas di
tempat sama dan pada hari yang sama.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
mengulangi pada Rabu bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak akan
memberi kebenaran Dataran Merdeka digunakan sebagai tempat perhimpunan
Bersih pada Sabtu ini.
Bercakap kepada wartawan Malaysia pada Rabu malam pada hari terakhir
lawatan kerja tiga hari ke Jepun, Najib berkata rakyat berpeluang untuk
memilih kerajaan pilihan mereka apabila pilihan raya umum diadakan.
"Waktu yang terbaik untuk membuat keputusan ialah apabila tiba masanya.
Pilihan raya akan diadakan dan rakyat boleh membuat pilihan dan kami
akan mematuhi keputusan yang dipilih rakyat. Itu adalah penting,"
katanya.
Tempoh pilihan raya umum Malaysia ke-14 dijangka berakhir pada Jun 2018. Najib berkata, apa-apa cara lain (untuk menukar kerajaan sekarang)
adalah tidak mengikut perlembagaan dan akan mewujudkan keadaan
huru-hara, seperti yang berlaku di beberapa negara lain.
"Tidak boleh menyebabkan berlaku sebarang pertembungan fizikal sama
sekali. Ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada kita dan bukan budaya
yang mahu kita amalkan sebagai cara hidup kita di Malaysia," katanya. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment