02 Februari, 2014
Penduduk Kajang Menggelupur?
Kali terakhir Kajang dikaitkan dengan ahli politik terkenal ialah ketika
bekas Menteri Kesihatan, Tan Sri Lee Kim Sai mewakili kawasan itu
sebagai Ahli Parlimen Hulu Langat.
Itu kira-kira 20 tahun lalu dan ketika MCA sangat berkuasa.Minggu lalu,
penduduk Kajang mendapati mereka berpeluang diwakili oleh seorang lagi
pemimpin terkenal, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dikatakan akan
menggantikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim jika
ketua umum PKR itu menang pilihan raya kecil.
Reaksi terhadap berita itu bercampur baur tetapi prospek mempunyai ketua
pembangkang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menyebabkan ia
dibincangkan di semua tempat termasuk sembang di kedai kopi, di ruang
tamu rumah dan tempat beribadat mencetuskan keterujaan di kalangan
penduduk, dan membangkitkan persoalan mengapa Anwar memilih bandar itu,
yang terkenal dengan sate dan penjara persekutuan di Sungai Jelok.
Sementara ramai penduduk bandar di selatan ibu kota Kuala Lumpur itu
terkejut dengan alasan pilihan raya kecil diadakan, perbualan mereka
kini bertukar kepada kelebihan yang bakal diterima jika menerima
pemimpin yang berani sebagai Adun.
“Kim Sai banyak berjasa kepada Kajang dan Hulu Langat sepanjang tiga
penggal menjadi ahli Parlimen di sini. Sekurang-kurangnya beliau
memastikan hospital Kajang mempunyai banyak pakar,” kata Alan Yeo, 52,
yang sudah lama menetap di Kajang.
“Saya pasti semua orang mahu menteri besar jadi Adun di tempat mereka.
Masalah tidak akan hilang sehari selepas dia dipilih tetapi
sekurang-kurangnya Anwar dan pegawainya akan berusaha untuk
menyelesaikan,” katanya dan menambah khidmat pembersihan Majlis
Perbandaran Kajang (MPKJ) tidak cemerlang sejak kebelakangan ini.
Kajang adalah satu daripada tiga DUN dalam kawasan Parlimen Hulu Langat,
dua lagi ialah Semenyih dan Dusun Tua.“Anwar sebagai menteri besar
bermakna semua jenis isu dalam bandar ini boleh diselesaikan.
Saya pasti dana akan diperolehi untuk menyelesaikan masalah kesesakan
dalam bandar dan jalan keluar pada waktu puncak,” kata ahli perniagaan,
Abdul Munir.Calon Pilihan Raya Kecil DUN Kajang akan berusaha
mendapatkan undi dalam kawasan urban meliputi 9,300 hektar itu ketika
kempen.
Jaringan jalan agak baik dan masa perjalanan daripada satu tempat ke
tempat lain ialah kira-kira 90 minit, tanpa kesesakan.Perjalanan dalam
kawasan itu menunjukkan pembangunan pesat, terutama banyak kawasan
perumahan yang baru di kawasan pinggir sempadan Kuala Lumpur dan pusat
pentadbiran Putrajaya.
Bandar itu mempunyai dua pusat beli-belah iaitu Metro Kajang dan Metro
Point, dua pasar raya besar, ibu pejabat MPKJ yang baru dan menyebabkan
pertumbuhan statistik – ia menjadi antara kawasan paling cepat membangun
di Selangor dengan peningkatan populasi tahunan 9% dan menjadi salah
satu kawasan perumahan popular di negeri itu, menurut laman web
hartanah.
Kawasan perumahan mewah seperti Ridgeview, Twin Palms, Sri Banyan dan
Jade Hills melonjakkan harga hartanah di Kajang sejak beberapa tahun
lalu.Ketua Bahagian MIC Hulu Langat, M Kalai Arasu, berkata sistem MRT
Lembah Klang bermula di Kajang dan ini akan menambah lagi kelebihan
Kajang. Laluan 51 km itu akan melalui Lembah Klang dan berakhir di
Sungai Buloh.“Laluan baru MRT akan masuk ke dalam bandar.
Di Kajang sendiri, akan ada tiga hentian dan ini akan mempercepat
pembangunan bandar dan kesesakan dalam tempoh beberapa tahun akan
datang,” katanya.Ia juga termasuk dalam pelan induk hebat Kuala Lumpur
kerana lokasinya berada di tengah-tengah antara tiga bandar utama –
Kuala Lumpur, Seremban dan Putrajaya.
Pengerusi Rukun Tetangga Sungai Chua Sektor C, Chen King Chong, berkata
pembangunan pesat itu juga menimbulkan beberapa masalah yang perlu
selesaikan oleh bakal Adun.“Pada masa ini, masalah terbesar ialah
kesesakan lalu lintas kerana populasi meningkat berikutan kawasan
perumahan bertambah.
“Ini menyebabkan jalan keluar masuk serta jalan dalam bandar turut sesak
pada hampir setiap masa. Waktu punca melanda Kajang hampir setiap masa
sepanjang hari termasuk Ahad,” katanya.Ketua Sekretariat PKR Kajang,
Hamzah Hassan, berkata kadar pembangunan tidak seiring dengan kesesakan
lalu lintas dalam bandar.
“Pembangunan di sini memang hebat tetapi mereka tidak berfikir mengenai
peningkatan trafik dan merancang sesuatu untuk mengatasinya.“Jadi kini
penduduk Kajang merana kerana terpaksa berdepan kesesakan lalu lintas
setiap hari kerana tiada tindakan diambil untuk memperbaiki jalan di
sini,” katanya.
Kalai berkata, selain kesesakan di Kajang, pengguna jalan raya tidak
gembira kerana mereka dipaksa membayar tol di laluan dari Kajang ke
Kuala Lumpur.“Kami dikelilingi lebuh raya dan terpaksa membayar tol
setiap kali keluar dari Kajang ke Kuala Lumpur.
Ia agak mahal. Tidak ada jalan bebas tol,” katanya merujuk kepada lebuh
raya Kajang Ring Road atau Lebuhraya Silk yang dibuka beberapa tahun
lalu untuk memudahkan perjalanan ke Semenyih dari Lebuhraya Kuala Lumpur
– Seremban dan beberapa bahagian lain tanpa perlu masuk ke bandar
Kajang.
Chen berkata, penduduk Kajang lega apabila kadar tol di Lebuhraya
Kajang-Cheras dipotong separuh, dua tahun lalu.“Ia agak membantu sebelum
ini, tetapi sekarang saya boleh bayangkan bagi sesetengah orang, mereka
terasa juga beban terutama dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya
dan menambah rancangan Putrajaya untuk menaikkan kadar tol bakal menjadi
isu ketika pilihan raya kecil.
Kalai berkata, ramai penduduk miskin di Kajang yang terasa kesan
kenaikan beberapa barangan asas baru-baru ini seperti petrol, gula dan
kadar tarif elektrik.“Makanan yang biasanya hanya berharga RM2.50 di
Kajang kini meningkat RM4.50. harga sate juga kini meningkat lebih RM1
secucuk di beberapa tempat.
“Ramai yang tahu bahawa barangan di pasar basah Kajang adalah antara
yang paling mahal dalam negara,” katanya.Peningkatan populasi di Kajang
datang bersama pertambahan kadar jenayah, dan menyebabkan lebih banyak
pasukan peronda kejiranan ditubuhkan untuk meningkatkan keselamatan di
kawasan perumahan.
Chen, yang menjadi sebahagian daripada kumpulan peronda, berkata polis
melantik Rukun Tetangga daripada kawasan perumahan untuk membantu dalam
program pencegahan jenayah.“Sebagai rakyat, kami cuba bantu apa yang
termampu. Saya dilahirkan dan membesar di sini,” katanya.
Kajang mempunyai 38,965 pengundi berdaftar. Pengundi Melayu ialah
sebanyak 49% sementara Cina (41%) dan India (10%).Populasi Cina
kebanyakan berada di kawasan Sungai Chua sementara orang Melayu di
Sungai Sekamat, Sungai Kantan dan sepanjang kampung di Jalan Cheras.
Masyarakat India pula bertaburan di sekitar kawasan Kajang tetapi
kebanyakannya berada di Sungai Jelok.Dalam Pilihan Raya Umum 2013, bekas
Adun Kajang, Lee Chin Cheh memperolehi 19,571 undi diikuti calon
MCA-Barisan Nasional, Lee Ban Seng dengan 12,747 undi dan Mohamad Ismail
(Berjasa) 1,014 undi.Tiga lagi calon bebas yang bertanding di kerusi
DUN itu serta Berjasa hilang wang deposit masing-masing. ~tmi
0 orang berkata:
Post a Comment