Pengkritik ‘Serampang Kajang’ gagal fahami politik demokrasi
KENYATAAN MEDIA NAIB PRESIDEN KEADILAN, N SURENDRAN
Saya rujuk kritikan berkenaan perletakan jawatan bekas ADUN Kajang,
CC Lee dan keputusan KEADILAN untuk meletakkan DS Anwar Ibrahim sebagai
calon.
Banyak kritikan yang diterima hingga kini lebih bersifat reaksi
menyentap, belum difikirkan dengan mendalam dan kurang memahami politik
kepartian dan pilihanraya.
Pilihanraya merupakan asas strategi bagi mana-mana parti politik di
dalam sesebuah demokrasi moden. Ianya hak sesebuah parti politik untuk
meminta rakyat membuat pilihan sebagai satu langkah strategi politik,
sama ada melalui pilihanraya kecil atau pilihanraya umum.
Dengan menggunakan pilihanraya untuk meraih kelebihan politik,
KEADILAN/Pakatan Rakyat sebenarnya memperkukuh sistem demokrasi sedia
ada.
Penggunaan pilihanraya sebagai langkah strategi yang sihat perlu
dipupuk dan digalak. Pakatan Rakyat berniat menambah kekuatan dengan
penggunaan sistem pilihanraya secara sah; ini berbeza apabila
dibandingkan dengan BN yang melemahkan pilihanraya, dan menyalahguna
kuasa eksekutif untuk menindas dan menganiaya musuh untuk terus memegang
kuasa.
Pilihanraya kecil merupakan satu cara yang amat baik untuk mendengar
suara rakyat; setiap pilihanraya kecil yang diadakan mengukuhkan
demokrasi, dan mengiakan demokrasi penyertaan.
Pengkritik ‘Serampang Kajang’ mungkin gagal mengamati bahawa sebuah
demokrasi moden tidak boleh berfungsi dengan baik tanpa pertandingan
sihat antara parti-parti politik yang menginginkan kelebihan politik.
Kelebihan ini boleh diperolehi melalui cara-cara yang sah dan dibenarkan, termasuklah pilihanraya kecil.
Mereka turut terlupa kata-kata dan semangat yang termaktub di dalam
Perlembagaan Persekutuan yang menimbang malah membenarkan
situasi-situasi sebegini.
Perkara 51 membenarkan seseorang wakil rakyat untuk meletakkan jawatan tanpa sebab atau syarat. Perkara 51 ditulis untuk membolehkan pilihanraya kecil sebagai satu strategi politik.
Memaksa berlakunya pilihanraya kecil adalah strategi politik yang
diamalkan di pelbagai negara demokrasi matang. Pada 2008, Ahli Parlimen
David Davis telah meletakkan jawatan dari House of Commons, UK untuk
memaksa berlakunya pilihanraya kecil demi memberi fokus kepada isu
kebebasan awam.
Pada tahun 1986, kesemua Ahli Parlimen Unionist telah meletakkan jawatan dari parlimen UK sebagai satu strategi politik.
Berbeza dari apa yang dikatakan pengkritik, tiada apa-apa kesalahan
dalam memaksa berlakunya pilihanraya kecil sebagai satu strategi
politik.
Mereka yang berkata pilihanraya kecil itu membazir wang ringgit
mungkin tidak faham bahawa tidak dapat tidak wang ringgit memang
terpaksa dibelanjakan demi menghidupkan sesebuah demokrasi.
Fokus mereka sepatutnya kepada pilihanraya yang bersih, bukannya demokrasi yang murah.
Akhir kata, ‘Serampang Kajang’ merupakan strategi politik untuk
mengalahkan BN yang korup dan zalim. Ini tidak bercanggah dengan hasrat
dan kemahuan rakyat; malah, ianya adalah demi kepentingan rakyat.
Dikeluarkan oleh,
N SURENDRAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
AHLI PARLIMEN PADANG SERAI
N SURENDRAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN
AHLI PARLIMEN PADANG SERAI
0 orang berkata:
Post a Comment