• Faekah (Dari Kiri) Faekah dan Nik Nazmi
1 / 1
SHAH ALAM - Nampaknya perang Twitter di antara Timbalan Speaker Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad dengan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin, makin panas.

Beberapa lama selepas Nik Nazmi membidas tindakan Faekah, Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) kemudian tampil mempertahankan kenyataannya di laman sosial sama.


"Nasihat yang baik dari mantan setiausaha politik juga.


"Kempen minima di Kajang, jimat kos," katanya yang dipetik dalam laman Twitternya, petang tadi.


Terdahulu, Nik Nazmi menerusi laman mikro Twitternya berkata, Faekah tidak perlu bercakap soal politik ekoran tidak lagi memegang jawatan sebagai Setiausaha Politik, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


"Kata sudah bukan Setiausaha Politik, tapi masih banyak cakap soal politik.


"Anda perlu tahu masa anda sudah tamat," tulisnya.


Kemuncak perang Twitter bermula Khamis lalu apabila Faekah seolah-olah membidas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kontroversi yang berlaku di kerusi Dun Kajang.


Faekah secara beralas menggesa Penasihat PKR itu meneliti terlebih dahulu Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 ekoran mahu bertanding di kerusi Dun Kajang.


Beliau mendesak Anwar meneliti kesemua proses dan prosedur undang-undang berkenaan dan tidak sesekali terlalu yakin dalam merealisasikan matlamat peribadi semata-mata.


Selain itu, beliau meminta Anwar untuk tidak menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah.


"Ahli politik di luar Selangor, belajarlah Perlembagaan negeri, proses dan prosedurnya. Jangan menghina Sultan dan jangan terlalu yakin dengan diri sendiri," katanya dalam akaun Twitter miliknya.