'Terima kasih PM Najib sanggup hadir hari ini'
KUALA LUMPUR - Etnik Rohingya di Malaysia bersyukur dan berterima kasih
kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tegas
memperjuangkan pembelaan terhadap etnik itu yang sedang ditindas di
Myanmar.
Setiausaha Persatuan Rohingya di Malaysia Nursobi Muhamad Sultan
berkata pemimpin-pemimpin negara lain kini perlu mencontohi ketegasan
Najib dalam memperjuangkan hak asasi kemanusiaan itu.
"Kami (etnik Rohingya) bersyukur dan berterima kasih kerana PM Najib
sanggup hadir pada hari ini dan bersama-sama ingin memperjuangkan nasib
yang kami hadapi selama ini.
"Ini menunjukkan PM Najib amat mementingkan nilai kemanusiaan walaupun
etnik kami bukan sebahagian daripada negara ini," katanya ketika ditemui
Bernama di sini, hari ini.
Perdana menteri bersama lebih 20,000 hadirin termasuk Timbalan Perdana
Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden PAS Datuk Seri Abdul
Hadi Awang, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, kepimpinan UMNO dan
PAS, menyertai Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Taman Tasik
Titiwangsa di sini.
Sementara itu, Timbalan pengerusi Persatuan Anak Muda Rohingya di
Malaysia Sulaimeen Muhammad Karim turut meminta kerajaan Malaysia
memainkan peranan penting dalam menangani isu itu.
"Malaysia sebagai negara yang dihormati di Asia Tenggara harus
memainkan peranan dengan menjadi 'orang tengah' dalam menyelesaikan
konflik yang dihadapi ini.
"Ini kerana kami telah lihat ramai bangsa kami yang mati dibunuh oleh
pihak tentera Myanmar, perbuatan ini tidak boleh dimaafkan kerana kami
ditindas," katanya.
Sulaimeen berkata masyarakat Rohingya di Malaysia amat berterima kasih
kepada kerajaan kerana sudi menerima sebahagian daripada pelarian
Rohingya dan memberi perlindungan sewajarnya.
Perhimpunan itu berjalan secara aman dengan seramai 250 anggota polis turut mengawal keadaan perhimpunan itu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi berkata dua
jalan utama di sekitar Taman Tasik Titiwangsa iaitu Jalan Kuantan dan
Jalan Tembeling ditutup kepada semua kenderaan sejak awal pagi tadi dan
dibuka semula selepas perhimpunan itu selesai.
Di KOTA KINABALU, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia
(Pekida) Sabah menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia untuk membela
etnik Rohingya yang dizalimi di Myanmar.
"Kami sokong penuh tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
menganjurkan 'Perhimpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya' di Stadium
Titiwangsa hari ini. Saya juga berharap seluruh rakyat Malaysia tanpa
mengira kaum dan agama bersama-sama membantah kezaliman terhadap etnik
Rohingya," kata Presiden Pekida Sabah Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad.
- Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment