Kisah sebenar Anwar di sebalik tirai besi
PUTRAJAYA – Di satu sudut, terletak sebuah katil hospital bernilai
RM5,000, dan di sudut yang lain terdapat pancuran mandi air
panas dan sejuk, yang dilitupi langsir untuk memastikan privasi selain
menutupi tandas duduk. Sebuah kipas dinding pula menghadap
ke sebuah meja tulis.
Inilah sel Datuk Seri Anwar Ibrahim di Penjara Sungai Buloh,
dan beliau tidak dikurung di dalamnya. Beliau dibenarkan bergerak
bebas di koridor sepanjang 50 meter. Dan di luarnya pula, terletak
kawasan yang boleh dikunjungi Anwar pada waktu petang.
Pihak berkuasa tidak melanggar sebarang peraturan untuk
menempatkan Anwar, yang mengalami kecederaan bahu
yang kronik tetapi tidak mengancam nyawa, akibat kemalangan
jalan raya.
"Tetapi kita longgarkan banyak peraturan," kata seorang pegawai
kanan Kementerian Kesihatan, yang memberi gambaran tentang
sel Anwar.
[ARTIKEL BERKAITAN: Fisioterapi bukan rawatan mewah untuk Anwar]
Beliau berkata, pihak berkuasa Penjara Sungai Buloh juga
mengesahkan bahawa sel Anwar dicuci setiap hari bagi memastikan
ia sentiasa bersih.
Pegawai itu berkata demikian bagi menjawab tuduhan para penyokong
Anwar yang mendakwa pemimpin mereka dikurung di dalam sel yang kotor.
Bagi rawatan perubatannya pula, seramai 17 pakar telah merawat Anwar,
yang pada masa ini mempunyai panel perubatan enam pakar untuk
memantau keadaan fizikalnya.
Enam pakar itu – tiga dari Hospital Kuala Lumpur, dua dari Kementerian
Kesihatan dan seorang dari sektor swasta – terkandung dalam tiga syor
yang dikemukakan kepada Anwar pada 28 Ogos lepas.
Syor pertama ialah meneruskan rawatan konservatif, syor kedua
melakukan pembedahan Artroskopik yang memerlukan invasif yang
minimum dan syor ketiga melakukan pembedahan menggantikan sendi
bahu.
Pada 28 September, seorang pakar pilihan Anwar telah memeriksa
bekas ketua pembangkang berusia 68 tahun itu dan bersetuju dengan
tiga syor yang dikemukakan itu serta memintanya membuat pilihan.
Berdasarkan rekod, Anwar telah bertemu doktor di Penjara Sungai Buloh
sebanyak 78 kali, doktor pakar panel di Penjara Sungai Buloh sebanyak
27 kali dan mengadakan pertemuan fisioterapi di Penjara Sungai Buloh
sebanyak 12 kali.
Dari Februari hingga 28 Oktober lepas, Anwar telah berjumpa dengan
keluarganya di Penjara Sungai Buloh sebanyak 13 kali, di hospital
(10 kali) dan di mahkamah (10 kali).
Sementara itu, isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail
yang juga Presiden PKR dilaporkan telah mendesak supaya Anwar
dirawat di luar negara.
Tetapi pegawai berkenaan berkata, Anwar tidak perlu mendapatkan
rawatan di luar negara.
Menurutnya Akta Penjara 1995 tidak membenarkan banduan dirawat
di kemudahan bukan kerajaan atau mendapat rawatan di luar negara
kerana segala keperluan rawatan sedia wujud di negara ini.
"Kita mempunyai peralatan dan kepakaran untuk melakukan
pembedahan Artroskopik atau pembedahan menggantikan sendi bahu -
tidak kira mana satu yang dipilihnya.
"Kita terkenal dengan pembedahan ini. Malah, ramai orang dari seluruh
rantau ini datang ke negara kita untuk melakukan kedua-dua pembedahan
ini," kata pegawai itu.
"Terutamanya pembedahan Artroskopik yang senang dilakukan dan selalu
dilakukan,” katanya.
Beliau berkata, Anwar boleh ditempatkan di hospital selama tiga hingga
empat minggu selepas pembedahan sehingga semua jahitan dikeluarkan
dan tiada bahaya jangkitan.
Jika Anwar masih mahukan pakar asing merawatnya di sini, "kita akan
permudahkannya. Tiada masalah," kata pegawai itu.
Beliau juga berkata, Anwar dilayan dengan penuh hormat pada setiap
masa.
"Malah, kami memberi diet khas kepada beliau termasuk bijirin, madu,
kismis dan kurma dengan mengambil kira keadaannya, " kata beliau.
Pakar-pakar perubatan juga berharap Anwar dapat membuat keputusannya
dengan lebih awal bagi membolehkan mereka melakukan pembedahan pada
1 November lepas.
"Kami berharap beliau dapat membuat keputusan dengan secepat mungkin,”
kata pegawai itu.
Anwar dihukum penjara lima tahun pada Februari lepas kerana meliwat
bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang berusia 23 tahun
ketika kesalahan itu dilakukan pada 2008. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment