PETALING JAYA - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam hari
 ini berkata, satu jawatankuasa khas mengenai rokok elektronik atau vape
 ditubuhkan bagi menjawab segala isu mengenai mekanisme kawalan dan
 penguatkuasaan penggunaannya di negara ini.

Jawatankuasa itu katanya dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan,
 Datuk Dr Noorhisham Abdullah.

"Turut serta dalam jawatankuasa itu ialah Timbalan Pengarah Kesihatan,
 Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman; Pengarah Bahagian Kawalan 
Penyakit, Dr Chong Chee Keong bersama beberapa pakar daripada 
bidang respiratori.

"Saya tidak akan menjawab lagi persoalan mengenai isu vape kerana
 kita telah tubuhkan satu jawatankuasa khas untuk membincangkan 
mengenai hal ini

"Penubuhan jawatankuasa ini bagi mengelak sebarang percanggahan
 pendapat dalam kalangan kementerian selain membolehkan usaha kawalan
 vape dilakukan secara menyeluruh," katanya dalam sidang media selepas
 merasmikan Gotong Royong Mega di Kampung Sungai Kayu Ara, di sini, 
hari ini.


Semalam, timbalannya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya dipetik sebagai 
berkata, lebih banyak masa perlu diberi kepada penjual rokok elektronik 
(e-rokok) untuk menjadikan perniagaan mereka sebagai perniagaan sah.

Mengulas tindakan tegas yang diambil kementerian itu terhadap aktiviti
 berkaitan vape di seluruh negara baru-baru ini, beliau berkata ia agak drastik.

"Ya, kami mendapat banyak maklum balas tentang tindakan kami itu,
 tapi secara peribadi, saya berpendapat, kami perlu kaji kembali tindakan
 kami itu dan mencari cara sewajarnya untuk menangani perkara ini kerana
 kini, industri vape melibatkan banyak orang," katanya.