Pas: Apa DAP mahu sebenarnya?
SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas (DPP) mahu DAP memberikan penjelasan
kepada rakyat tentang pendirian parti tersebut terhadap kerajaan
Selangor yang diterajui oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.
"Adakah mereka ingin menghancurkan kerajaan sedia ada dan memberikan laluan mudah untuk Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa demi melunaskan dendam mereka kepada Pas atau mahu pertahankannya?" kata Naib Ketua DPP, Khairil Nizam Khirudin.
Khairil Nizam berkata, DPP menyokong kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang menegaskan bahawa Pas Selangor tidak akan tunduk kepada desakan Pengerusi DAP Kajang Baru, Chiong Yoke Kong.
[ARTIKEL BERKAITAN: Pas tidak akan tunduk dengan desakan DAP]
"Pas kekal dengan pendirian sedia ada untuk terus mempertahankan kerajaan Selangor sehinggalah pilihan raya akan datang demi kepentingan rakyat," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
"Pas tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan dan permintaan untuk keluar dari kerajaan Selangor dan akan terus menyokong kepimpinan Menteri Besar sekarang.
"Pas menggesa agar Selangor tidak dikorbankan demi memenuhi hasrat pemimpin tertentu yang gagal melihat kepentingan rakyat berbanding dengan kepentingan politik mereka," katanya lagi.
Menurut beliau, Pas terbuka untuk berbincang dengan sesiapa sahaja secara matang termasuk PKR atau DAP mengenai masa depan Selangor.
Walaubagaimana pun, ianya terpulang kepada pendirian parti masing-masing untuk menghormati prinsip dan perjuangan yang lain.
"Pas percaya lebih ramai ahli DAP yang tidak bersetuju dengan pandangan itu, walaupun Pas dan DAP kini sudah tidak sehaluan.
"Pas melihat rakyat sudah bosan dengan percaturan untuk meruntuhkan kerajaan Selangor. Adalah lebih baik DAP melihat ke hadapan untuk memastikan segala janji kepada rakyat ditunaikan sebelum pilihanraya akan datang," kata Khairil Nizam lagi.
Pas juga katanya tidak risau jika pada pilihan raya akan datang DAP akan bertanding tiga penjuru di kerusi-kerusi peringkat Dun dan Parlimen.
"Tapi buat masa ini, tiada apa-apa yang perlu diubah dan dimusnahkan kerana itu hanya memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional," akhiri beliau.
0 orang berkata:
Post a Comment