Kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri
 tidak akan terjejas malah akan terus berkuasa walaupun ahli Parlimen pembangkang
 mendapat cukup sokongan untuk menang usul tidak percaya terhadap Bajet 2016.

Demikian kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man 
sambil menegaskan penolakan belanjawan negara itu hanya akan menjejaskan
 penggajian penjawat awam dan menyusahkan rakyat.
“Sekiranya bajet berjaya ditolak, ia hanya memeritkan urusan harian 
rakyat tergantung termasuk gaji kakitangannya yang tidak boleh dibayar akibat tindakan itu.

“Akan tetapi langsung tidak mengancam kedudukan Perdana Menteri mahupun BN 
yang menjadi fokus untuk ditumbangkan kerana tidak amanah. Percayalah Najib 
tetap tidak akan meletakkan jawatan walaupun bajetnya ditolak,” katanya dalam satu
 kenyataan.

Sebelum ini, Setiausaha Agung, Lim Guan Eng pada Ahad menyifatkan keputusan
 Pas yang tidak menyokong usul penolakan Bajet 2016 menunjukkan bahawa parti 
Islam itu mahu bekerjasama dengan BN.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, beliau kesal dengan tindakan Pas menolak
 usul terbabit yang sekaligus dilihat menolak undi tidak percaya Pakatan Harapan
terhadap Perdana Menteri itu.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga berkata walaupun Pas sedar bahawa Bajet 2016 
‘pembuka laluan’ kepada kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang lebih 
tinggi pada belanjawan akan datang, namun rakyat tidak perlu menjadi mangsa politik
 dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Pas tidak mahu menghantar mesej bahawa kami membantah gaji kakitangan dan
 pencen pegawai kerajaan dinaikkan dan begitu juga bonus yang diharapkan mereka
 untuk mengurangkan beban masa ini yang terdapat dalam Bajet 2016.

“Pengalaman Amerika Syarikat apabila berlaku "goverment shutdown", menyebabkan
 800 ribu kakitangan kerajaan persekutuan terpaksa mengambil cuti sementara manakala
 1.3 juta lagi terpaksa lapor diri ke tempat kerja tanpa diberitahu bila gaji mereka akan 
dibayar. Akhirnya, rakyat Amerika menyalahkan pembangkang,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya lagi, walaupun Pas menyokong Bajet 2016, namun ia tidak
 bermakna parti Islam itu menolak usul undi tidak percaya terhadap Ahli Parlimen
 Pekan itu yang dibawa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Keadaan ini berbeza dengan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, 
kerana Pas telah mengambil pendirian menyokongnya sekiranya ia dibawa untuk
 dibahas di Parlimen,” katanya lagi.